KEMAMPUAN DAN KOMITMEN MALAYSIA DALAM MENINGKATKAN KERJASAMA DAN PENGUKUHAN REGIONALISME DI RANTAU ASIA TENGGARA MELALUI ASEAN
PENULISAN OLEH : Mohammad Faiez Iqmal bin Semi, Muhamad Shahfiq bin Lasamat & Raihan Junain (2024) (Mahasiswa Pengajian Malaysia dengan Pendidikan UPSI)
1.0 PENGENALAN
Persatuan Negara-Negara Asia
Tenggara (ASEAN) merupakan kerjasama serantau ketiga yang ditubuhkan pada tahun
1967 setelah penubuhan Association of
Southeast Asia (ASA) pada tahun 1961 dan organisasi serantau yang terdiri
daripada tiga buah negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO)
pada tahun 1963. Peristiwa-peristiwa seperti tuntutan Borneo Utara oleh
Filipina kepada Malaysia dan Ganyang Malaysia yang dilancarkan oleh Presiden
Sukarno pada tahun 1963 yang membantah penubuhan Malaysia mengakibatkan
hubungan dua hala antara negara-negara ini terganggu. Persaingan ideologi
antara kapitalisme (Amerika Syarikat) dan komunisme (Soviet Union dan China) di
rantau Asia Tenggara untuk meluaskan pengaruh masing-masing kepada
negara-negara Asia terutama Asia Tenggara berlaku disebabkan oleh negara-negara
kecil ini masih tidak mempunyai ideologi yang kukuh untuk pembentukan negara
bangsa (Lili Arnakim & Mariam Mat, 2021). Peperangan ideologi antara
komunisme di Vietnam Utara dengan kapitalisme di Vietnam Selatan dari tahun
1947 sehingga tahun 1991 telah mendorong negara Filipina, Indonesia, Thailand,
Singapura dan Malaysia sebagai salah sebuah negara awal atau digelar Founding Fathers bersepakat untuk
menubuhkan satu entiti yang menjadi payung serantau atas faktor keselamatan dan
kestabilan untuk mengelakkan penyebaran
pengaruh komunis ke
atas negara-negara rantau Asia Tenggara.
Pertubuhan ASEAN ditubuhkan setelah
termeterainya Deklarasi ASEAN yang bertempat di Bangkok dan telah
ditandatangani oleh wakil kelima-lima negara pengasas iaitu Adam Malik (Menteri
Luar Negeri Indonesia), Tun Abdul Razak (Wakil Perdana Menteri Malaysia),
S.Rajaratnam (Menteri Luar Negeri Singapura), Narsisco Ramos (Menteri Luar
Negeri Filipina) dan Thanat Khoman (Menteri Luar Negeri Thailand). Tujuan
penubuhan ASEAN adalah untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial
dan pembangunan serta menggalakkan keamanan dan kestabilan politik di rantau
Asia Tenggara (Syed et al., 2017). Keanggotaan ASEAN telah meningkat kepada
sepuluh setelah Brunei Darussalam menyertai ASEAN (1984), diikuti oleh Vietnam
(1995), Laos dan Myanmar (1997) dan Kemboja (1999) manakala negara pemerhati
ASEAN terdiri daripada Timor Leste dan Papua New Guinea. Sejak awal penubuhan
ASEAN sehingga kini, Malaysia terlibat secara aktif dalam pertubuhan ini kerana
pertubuhan ASEAN mempunyai kepentingan terbesar terhadap dasar luar negara
melalui pegangan ASEAN is a corner stone
to Malaysia kerana ASEAN merupakan satu-satunya pertubuhan serantau yang
membincangkan segala isu yang menjadi keperluan dan kepentingan kepada negara
anggota (Lili Arnakim & Mariam Mat, 2021).
2.0 KERJASAMA POLITIK DAN KESELAMATAN
Kemampuan
dan komitmen Malaysia dalam meningkatkan kerjasama dan pengukuhan regionalisme
di rantau Asia Tenggara melalui ASEAN turut dapat dilihat melalui kerjasama
dalam aspek politik dan keselamatan.Kerjasama politik dan kerjasama keselamatan
antara Malaysia dan ASEAN mencapai kemuncaknya melalui pelancaran konsep Zon
Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia
Tenggara (SEANWFZ). Berteraskan kerjasama dalam ASEAN ini, Malaysia juga
menjadi negara perantara serta berkomitmen dan berkemampuan dalam memastikan
kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara dapat dijaga.
2.1
Kerjasama Politik
Komitmen
dan kemampuan Malaysia dalam meningkatkan kerjasama politik dengan ASEAN mampu
diukur melalui pelancaran ZOPFAN yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Razak Bin
Hussein pada 27 November 1971 di Kuala Lumpur yang telah mendapat sokongan
daripada pada menteri-menteri luar negara ASEAN. Zon Aman merujuk kepada
keadaan hubungan yang terkawal dan harmoni dalam kalangan negara ASEAN. Zon
Bebas bermaksud kebebasan sesebuah negara dalam menyelesaikan hal domestik
mereka tanpa gangguan ataupun pengaruh daripada negara luar. Konsep ZOPFAN ini
adalah untuk memastikan kuasa besar Rusia,Amerika Syarikat,dan China harus
menghormati dan menjaga kepentingan negara dalam Asia Tenggara, kuasa besar
tidak menceroboh kedaulatan negara ASEAN, kuasa besar tidak boleh menggunakan
negara ASEAN sebagai pusat pengujian senjata nuklear atau membina pusat
ketenteraan mereka dan sebarang urusan hal ehwal negara ASEAN sama ada dari
luar maupun dalam tidak boleh dicampuri oleh kuasa luar. Perkara ini bermakna
kedaulatan negara ASEAN tidak boleh digugat apabila menyelesaikan masalah
tempatan berteraskan kaedah mereka tersendiri demi untuk keselamatan.
Berdasarkan
konsep ZOPFAN ini Malaysia mampu menjadikannya sebagai sebuah platform bagi
mengawal dan menjejak sebarang aktiviti ketenteraan oleh kuasa-kuasa besar
seperti Amerika syarikat dan China di kawasan perairan mahupun udara. Buktinya,
Malaysia telah menggesa semua pihak sama ada yang terlibat dalam Perjanjian
Keselamatan Tiga Hala antara Australia,United Kingdom(UK) dan Amerika Syarikat
(AS) untuk tidak melakukan sebarang aktiviti ketenteraan yang bersifat
provokasi dan boleh mengacau keamanan dan keselamatan di rantau ASEAN melalui
prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai ZOPFAN akibat daripada pembangunan
lapan kapal selam berkuasa nuklear di kawasan perairan ASEAN (Zanariah Mutalib
– Mac 30, 2023). Tambahan lagi, Malaysia turut menegaskan bahawa sebarang kapal
selam negara asing,sama ada berkuasa konvensional atau berkuasa nuklear yang
ingin berlayar di bawah permukaan air dalam perairan negara, tentera laut
negara asing perlu mengemukakan permohonan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) melalui nota diplomatik bagi mendapatkan kelulusan khas. Ini jelas
menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengangkat Prinsip ZOPFAN hasil daripada
kerjasama ASEAN sebagai sebuah senjata halus bagi negara kita mengukuhkan
kerjasama sekaligus dapat mempengaruhi sebarang aktiviti kuasa luar untuk tidak
membuat sewenang-wenangnya dalam kawasan Asia Tenggara.
2.2
Kerjasama Keselamatan
Keselamatan
negara dapat ditakrifkan sebagai objektif dan kaedah bagaimana sesebuah negara
mempertahankan wilayahnya daripada ancaman luar mahupun dalam serta
kebolehannya mengekalkan nilai asas negara tersebut (Ruhanas Harun, 2009). Bagi
memastikan kerjasama dari aspek keselamatan Malaysia dengan negara anggota
ASEAN yang lain, Perjanjian SEANWFZ telah dimeterai dan dipersetujui oleh
kesepuluh buah negara ASEAN pada sidang kemuncak ASEAN di Bangkok pada tahun
1995. Perjanjian ini akan memastikan bahawa ASEAN akan menjadi sebuah kawasan
bebas nuklear dan menghidari sebarang persaingan kekuatan nuklear di rantau
ASEAN. Perjanjian ini penting agar dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar
akibat daripada sisa-sisa radioaktif dan bahan-bahan toksik yang yang telah
pernah terjadi dalam tragedi di Nagasaki dan Hiroshima,Jepun dan
Cheronbyl,Rusia yang memberikan gambaran jelas kepada ASEAN perlu menangani isu
kuasa nuklear dengan serius. Pada 27 Mac 1997, penguatkuasaan perjanjian
SEANWFZ , Asia Tenggara berjaya menghindari pengaruh senjata nuklear di rantau
ini.
Berdasarkan
perjanjian SEANWFZ ini Malaysia berkemampuan untuk menyuarakan harapan agar
resolusi dwitahunan mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)
akan diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
yang ke-78. Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Perjanjian
SEANWFZ 2023-2027 yang membentuk rangka kerja keselamatan lanjutan akan
melengkapi dan mengukuhkan Deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali
1971. Deklarasi ini membolehkan Malaysia untuk menekankan betapa pentingnya
untuk semua Negara Senjata Nuklear (NWS) mempersetujui dan meratifikasi
Protokol Perjanjian itu. Menteri Luar
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mengatakan bahawa Malaysia berpandangan
NWS boleh menandatangani dan mengesahkan protokol NWS SEANWFZ dengan atau
sebarang pengecualian. Ini menunjukkan bahawa, berteraskan perjanjian SEANWFZ
yang lahir daripada rundingan ASEAN, Malaysia mampu menjadikannya sebagai
sebuah model memperkukuhkan keselamatan sendiri serta negara serantau bagi
menghindari pengaruh senjata nuklear yang boleh mengakibatkan ketegangan
geopolitik yang yang kian meningkat.
Kedudukan
Malaysia yang terletak ditengah-tengah Asia Tenggara dan berkongsi sempadan
dengan lima negara jiran iaitu Brunei,Filipina,Indonesia,Singapura, dan
Thailand menimbulkan pelbagai cabaran terutama sekali dari aspek keselamatan
dan sekaligus mempengaruhi corak politik Malaysia mahupun negara ASEAN yang
lain. Hal ini telah menyebabkan Malaysia selalu menjadi perantara dalam isu
pergolakan dalam kalangan negara ASEAN. Perantara dapat ditakrifkan sebagai
orang tengah atau pihak ketiga yang bertanggungjawab dalam proses penyelesaian.
Malaysia merupakan sebuah negara perantara yang amat aktif dalam menyelesaikan
isu-isu dalam peringkat ASEAN. Sebagai buktinya, isu perogolakan di Kemboja
telah diselesaikan melalui perantaraan Malaysia dan dibantu dengan negara ASEAN
yang lain melalui rundingan ketiga-tiga pemimpin kumpulan pejuang supaya
bersatu dan membangunkan Kerajaan Campuran di Kampuchea. Rundingan ini telah
melahirkan sebuah persetujuan untuk mendirikan kerajaan campuran yang telah
dilaksanakan di Rumah Malaysia di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Dalam acara
rundingan ini, Putera Norodom Sihanouk akan menjadi Presiden kerajaan campuran
di Kampuchea tersebut, naib presiden pula adalah Kiue Samphan, manakala Perdana
Menteri Kampuchea ialah Son Sann. Kerjasama antara 3 individu yang mewakili
kumpulan masing-masing membolehkan mereka untuk bergabung tenaga dan mengusir
keluar dan membebaskan negara mereka daripada tentera Vietnam.
Selain daripada isu kemboja ini,
Malaysia turut menjadi perantara dalam rundingan damai yang dikenali sebagai Langkawi Peace Talks antara kerajaan
Thailand dengan puak pemisah iaitu , Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP),
Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP), BERSATU (iaitu gabungan Barisan
Revolusi Kebangsaan (BRN), dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).
Pada tahun 2007 juga, sebuah kerjasama alternatif juga turut dilaksanakan iaitu
Task Force antara kerajaan Malaysia dengam Thailand iaitu memberikan pendidikan
kepada komuniti Melayu Islam di selatan Thailand memiliki literasi yang baik
untuk mencintai keamanan. Ini jelas menunjukkan bahawa, Malaysia memiliki
sebuah komitmen yang penting iaitu menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu
dalam kalangan negara jiran dan berkemampuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama
dengan melalui ASEAN berteraskan hubungan diplomatik.
3.0 KERJASAMA EKONOMI
Berdasarkan Perkara 2 tujuan dan
prinsip Piagam ASEAN, sektor ekonomi turut tersenarai sebagai tunjang kepada
penubuhan pertubuhan ini. Hasrat dalam mempertingkatkan ketahanan serantau
boleh dikecapi dengan menggalakkan kerjasama ekonomi diantara negara-negara
anggota khususnya. Keseriusan ASEAN dalam melakukan kerjasama dalam sektor
ekonomi mula tercetus apabila tertubuhnya blok perdagangan Kesatuan Eropah (EU)
dan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) termasuk pelaksanaan dan
peranan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam meliberalkan dan menggerakkan
pertumbuhan ekonomi dunia. Perkara ini telah memberi dampak kepada
negara-negara di dunia terutama negara-negara membangun untuk mula menubuhkan
kawasan kerjasama ekonomi serantau atau menjalinkan perjanjian perdagangan
bebas (FTA) dua hala. Maka dengan itu, kebanyakan pertubuhan negara sekitar
benua Asia mula mewujudkan kerjasama ekonomi masing-masing seperti Kawasan
Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi negara-negara Asia Tenggara dan Perjanjian
Perdagangan Bebas Asia Selatan (SAFTA) bagi negara-negara Asia Selatan pula
iaitu terdiri daripada India, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, dan Nepal.
Kerjasama ekonomi yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun ini adalah lebih
menjurus kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan intra-negara. Namun,
sejak krisis ekonomi Asia yang berlaku pada 1997/1998, negara-negara di Asia
Timur termasuk ASEAN, mula agak agresif dalam menjalin hubungan kerjasama
ekonomi dalam bentuk perjanjian perdagangan bebas dua hala di samping
mengukuhkan kerjasama ekonomi yang telah sedia ada atau yang telah dimeterai
(Abdul Mahajar, 2002). Oleh yang demikian, keterlibatan Malaysia dalam
menyokong setiap strategi ekonomi ASEAN juga penting memandangkan semua negara
anggota merupakan satu unit keluarga yang besar untuk bekerjasama dalam
membangunkan ekonomi rantau ini.
Secara dasarnya, sebagai salah
sebuah negara pengasas ASEAN, Malaysia mengambil peluang ini dengan menetapkan
dasar luarnya dengan lebih mengutamakan ikatan kerjasama ekonomi serantau
berbanding regional yang lain. Perkara ini dipengaruhi oleh tahap proses
keserantauan yang lebih ketara dan progresif kerana dipandu oleh kedinamikan
ekonomi. Malaysia juga mempunyai dasar luar yang jelas dalam aspek ini
khususnya dalam era pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad iaitu dari sudut kebebasan
perdagangan dan pengamalan dasar terbuka dalam aspek ekonomi. Hubungan
perdagangan dengan kebanyakkan negara membangun selain di rantau asia Tenggara
turut ditingkatkan. ASEAN menjadi salah satu rantau yang terpenting dalam
konteks dasar luar ekonomi negara ini. Di samping menjayakan perluasan keahlian
ASEAN, Dr. Mahathir Mohamad menggunakan pelbagai platform ASEAN untuk terus
berkempen sejak tahun 1991 tentang agenda yang lebih besar iaitu mewujudkan
gagasan Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG) (Afendi Daud & Junaidi Awang, 2016).
Idea EAEG ini merupakan rentetan daripada kerjasama yang dilaksanakan sebelum
ini iaitu forum Kerjasama (APEC). Oleh kerana EAEG belum diiktirafkan
sepenuhnya, pertukaran nama baharu EAEG kepada EAS dilakukan. EAS adalah
sebagai proses baharu selaras dengan agenda ekonomi EAEG. Melalui EAS, Rantau
Asia Timur melalui ASEAN bergabung dibawah konsep ASEAN+3 yang melibatkan
Jepun, Korea Selatan dan China. EAS juga berjaya pada peringkat Asia Timur
dengan memasukkan ahli lain yang berminat dengan proses ini. Komitmen Malaysia
melalui pelbagai inisiatif ke arah proses keserantauan Asia Tenggara dapat
dilihat dengan menyeluruh, walaupun kadangkala usaha Malaysia ini
membelakangkan negara ASEAN yang lain. Namun begitu, pada hakikatnya semua ahli
ASEAN turut mendapat manfaat daripada proses regionalisme yang semakin
berkembang ke peringkat Asia Timur. Ini termasuk perjanjian perdagangan bebas
ASEAN-China yang melibatkan penduduk seramai 1.7 billion orang, sekaligus
membuka pasaran yang luas kepada negara anggota ASEAN (Mohamed Aslam, 2004).
Malaysia juga mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan negara China. Hal
ini dapat dicontoh oleh ahli lain dalam ASEAN dalam konteks meningkatkan
perdagangan dua hala.
Kemudian, sejak ASEAN telah
menjumpai solusi bagi mewujudkan satu pasaran bebas di kalangan negara
anggotanya semasa Kemuncak Persidangan ASEAN tahun 1992, iaitu Kawasan
Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). AFTA telah memperkenalkan Skim Tarif Keutamaan
Bersama (CEPT) untuk mengurangkan tarif kepada 0-5% dalam tempoh tertentu (Kementerian
Pelaburan, Perdagangan dan Industri [MITI], 2015a). Malaysia secara aktif
menyokong dan melaksanakan langkah-langkah ini, di mana membantu meningkatkan
perdagangan intra-ASEAN. Kawasan Perdagangan Bebas ini akan merangkumi lebih
kurang setengah bilion pengguna yang akan bekerjasama dan mengambil peluang ke
atas skala ekonomi yang luas (Rizaudin Sahlan & Ridhuan Abdullah, 2007). Firma-firma
di negara ASEAN akan mendapat harga yang termurah bagi sumber-sumber mentah
yang mereka perlukan. Sebagai contoh, syarikat-syarikat besar Malaysia seperti
Proton dapat mengeksport produk mereka dengan lebih kompetitif di pasaran ASEAN
berikutan pengurangan tarif sekaligus meningkatkan pengeluaran hasil
perdagangan antara Malaysia dan negara-negara jiran (Zaky Zainuddin – Februari 3,
2023), walaupun di kalangan mereka wujud persaingan tetapi ini akan
meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Tambahan lagi, Malaysia juga telah
menubuhkan beberapa Zon Perdagangan Bebas (FTZ) seperti di Pelabuhan Klang dan
Penang. Zon ini menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik, insentif cukai,
dan peraturan yang mudah untuk menarik pelaburan asing dan menggalakkan
eksport. Zon-zon ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga
memperkuatkan rangkaian rantaian bekalan serantau ASEAN. Contohnya, Penang FTZ
telah menarik syarikat-syarikat multinasional seperti Intel dan AMD untuk
membuka kilang pembuatan mereka di Malaysia, yang mana sebahagian besar produk
tersebut dieksport ke negara-negara ASEAN yang lain (Norshahida Yusoff – April
1, 2012).
Malaysia juga berperanan penting
dalam menjayakan visi ASEAN 2020. Peranan ini berdasarkan pengalaman Malaysia
dalam melaksanakan wawasan 2020 negara. Ideanya hampir serupa hanya ASEAN 2020
lebih memfokuskan kerjasama serantau dan mementingkan idea komuniti dan
integrasi ASEAN. Di Perundingan ASEAN ke 9 pada 7 Oktober 2003,
pemimpin-pemimpin negara ASEAN telah bersetuju untuk membangunkan Komuniti
ASEAN menjelang tahun 2020. Cadangan penubuhan Komuniti ASEAN adalah hasil dari
Visi ASEAN 2020 yang dilancarkan pada tahun 1998 tersebut (Mohamed Aslam, 2005).
Berasaskan Visi ASEAN 2020, penciptaan komuniti ASEAN akan memastikan kerjasama
yang lebih erat, lebih komprehensif agar masyarakat ASEAN sama-sama menikmati
hasil dari pengintegrasian negara-negara anggota. Komuniti ini diharapkan akan
mengukuhkan kedamaian, kestabilan, keselamatan, pembangunan dan kemakmuran
dalam rantau ini di samping meningkatkan perpaduan serantau dan daya saing
dalam menghadapi sebarang cabaran baru dari globalisasi dan kemunculan serta
persaingan dari kuasa-kuasa ekonomi baru di Asia terutamanya negara China dan
India. Komuniti ASEAN ini merangkumi 3 komponen atau tunjang iaitu Komuniti
Keselamatan, Ekonomi dan Sosial-Budaya ASEAN. Komponen inilah yang akan
membentuk dan merealisasikan pembentukan komuniti tersebut.
Di bawah komponen kedua iaitu
Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memfokuskan integrasi ekonomi serantau iaitu
dengan membangunkan sebuah pasaran bebas. Malaysia telah terlibat secara aktif
dalam proses pembentukan dan pelaksanaan AEC yang secara rasminya dilancarkan
pada 31 Disember 2015. AEC bertujuan untuk mewujudkan satu pasaran tunggal dan
asas pengeluaran yang kompetitif, memastikan aliran bebas barangan,
perkhidmatan, pelaburan, buruh terampil dan aliran modal yang lebih bebas di
kalangan negara anggota ASEAN. Malaysia memainkan peranan penting dalam
penggubalan dan pelaksanaan pelbagai rangka kerja dan garis panduan yang
menyokong AEC. Hal ini termasuk Rangka Kerja Pembangunan Sektor (Sectoral
Development Frameworks) dan Pengharmonian Standard dan Peraturan. Berdasarkan Rangka
Kerja Pembangunan Sektor, Malaysia terlibat dalam sektor-sektor seperti E-dagang,
tenaga, dan pertanian untuk memastikan integrasi sektor ini sejajar dengan
matlamat AEC. Bagi Pengharmonian Standard dan Peraturan, Malaysia bekerjasama dengan
negara anggota lain untuk mengharmonikan standard dan peraturan yang berkaitan
dengan perdagangan dan perkhidmatan seperti standard keselamatan makanan dan
peraturan farmaseutikal bagi memudahkan perdagangan merentasi sempadan tertentu
(MITI, 2015b).
Begitu juga jika dilihat melalui usaha
pelaksanaan, Malaysia telah mengimplementasikan pelbagai langkah untuk
mempermudah perdagangan dan pelaburan dalam rangka AEC contohnya inisiatif
Malaysia National Single Window (NSW). Malaysia telah melaksanakan NSW yang
membolehkan kemudahan penghantaran dokumen secara elektronik untuk urusan
kastam dan perdagangan, yang memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan.
NSW Ini adalah platform elektronik yang membolehkan penghantaran dan
pemprosesan dokumen perdagangan dan kastam dilakukan secara dalam talian. NSW
memudahkan prosedur import dan eksport, mengurangkan masa dan kos pematuhan
untuk perniagaan, serta meningkatkan kecekapan urusan kastam (MITI, 2018). Di
samping itu, integrasi ekonomi ASEAN ini juga menjadi pencetus kepada penarikan
pelabur-pelabur daripada luar negara ASEAN yang menginginkan pasaran yang besar
dan cekap secara tidak langsung. Maka dengan itu, Malaysia mempergiat usahanya
dalam mempromosikan Pelaburan Asing Langsung (FDI) dalam sektor-sektor
strategik seperti elektronik, pembuatan dan perkhidmatan kewangan. Melalui
agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), negara menawarkan
pelbagai insentif untuk menarik pelaburan dari syarikat multinasional,
sekaligus meningkatkan daya saing rantau ASEAN. InvestKL, sebuah agensi
kerajaan Malaysia, berjaya menarik syarikat-syarikat besar seperti Honeywell untuk menubuhkan ibu pejabat
serantau mereka di Kuala Lumpur (Shahrizan Salian – Mac 1, 2017). Secara tidak
langsung, ini akan meningkatkan integrasi ekonomi di kalangan negara-negara
ASEAN melalui pengaliran pelaburan dan teknologi. Selain Malaysia, terdapat
beberapa negara ASEAN yang lain cuba mempercepat proses integrasi ekonomi ASEAN
misalnya Singapura dan Thailand yang kini bergerak ke arah FTA dua hala yang
boleh dicontohi oleh negara ASEAN lain agar visi ASEAN 2020 boleh dipercepat
bagi mencapai aspirasi Komuniti Ekonomi ASEAN.
Selain itu, Malaysia masih memainkan
peranan penting dalam mempromosikan ekonomi digital di kalangan negara-negara
ASEAN. Ini dilakukan melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan memperkukuhkan ekonomi
digital di rantau ini. Bermula dengan usaha pembangunan dan pembiayaan
infrastruktur digital. Malaysia menyokong dan terlibat dalam projek ASEAN
Broadband Corridor yang bertujuan untuk memperluaskan akses jalur lebar
berkelajuan tinggi di seluruh ASEAN. Projek ini membawa objektif khusus dalam
membantu mengurangkan jurang digital antara negara anggota dan memastikan
bahawa semua negara mempunyai akses kepada infrastruktur digital yang moden dan
efisien (ASEAN, 2021). Malaysia dalam usaha domestiknya juga telah melabur
dalam pembangunan infrastruktur digital yang canggih seperti jalur lebar
berkelajuan tinggi dan pusat data, iaitu Program Jalur Lebar Kebangsaan (NBI)
Malaysia. Inisiatif ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika
itu, YAB Datuk Sri Najib Tun Razak pada 24 Mac 2010 (JDN, t.t). Inisiatif yang
didokongi oleh Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM - MCMC) ini merupakan suatu pelan strategi bagi
pengimplementasian Jalur Lebar Nasional yang bertujuan untuk meningkatkan
kelajuan dan akses internet di seluruh negara, sekaligus menyokong inisiatif
ASEAN untuk mengurangkan jurang digital di kalangan negara anggota. Usaha ini dilihat mampu memastikan sambungan
internet yang lebih baik dan lebih pantas di seluruh rantau.
Bukan itu sahaja, inisiatif lain
yang dilakukan Malaysia juga boleh dilihat dengan tertubuhnya Mesyuarat Menteri
Digital ASEAN (ADGMIN). Malaysia adalah salah satu negara yang menyokong
penubuhan Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) yang pertama kali diadakan
pada Januari 2021. Selain mencipta sejarah sebagai tuan rumah pertama untuk
kedua-dua mesyuarat ini setelah dinamakan semula sebagai ADGSOM dan ADGMIN,
buat pertama kalinya juga mesyuarat ini dilaksanakan secara digital atau maya
kerana dunia masih menghadapi pandemik COVID-19 yang membatasi perjalanan
antarabangsa (KKOM, 2020). Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan dan
merumuskan strategi dan dasar untuk mempercepatkan transformasi digital di
ASEAN. Menurut Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan
Multimedia (KKMM), Mano Verabathran, penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN
mengenai bidang digital dan ICT amat penting untuk mengekalkan pertubuhan ini
sebagai satu pasaran yang menarik kepada pihak pelabur luar, dengan potensi
skala ekonomi yang tersedia. Jelasnya lagi, berdasarkan Institut Penyelidikan
Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) menjangkakan, ekonomi digital ASEAN
(istilah kolektif untuk sema urus niaga ekonomi yang berlaku dalam talian) akan
berkembang sebanyak 6.4 kali ganda dari USD 31 bilion pada tahun 2015 kepada USD
197 bilion pada tahun 2025 (KKOM, 2020). Tuntasnya, melalui peranan aktif dalam
ASEAN Broadband Corridor dan ADGMIN, Malaysia telah menyumbang secara
signifikan dalam membentuk masa depan digital ASEAN. Ini bukan sahaja
memperkukuhkan kerjasama digital di rantau ini, tetapi juga memastikan ASEAN
bersedia untuk menghadapi cabaran dan peluang dalam era digital.
Secara keseluruhan, peranan Malaysia
dalam kerjasama ekonomi ASEAN adalah sangat komprehensif dan signifikan,
menjadikannya salah satu pemain utama dalam rantau ini. Malaysia dalam
kerjasama ekonomi ASEAN adalah sangat penting dalam memastikan kestabilan,
kemakmuran, dan integrasi ekonomi yang lebih kukuh di kalangan negara-negara
anggota.
4.0 KERJASAMA SOSIAL
Rantau Asia Tenggara terkenal
sebagai rantau yang kaya dengan kepelbagaian warna dari segi bahasa, agama,
adat resam dan sebagainya. Kedatangan pengaruh luar dari Hindu, Buddha dan
Islam pada zaman kerajaan awal telah menjadikan negara-negara di Asia Tenggara
memiliki ciri-ciri yang tersendiri yang boleh diangkat sebagai identiti
kebudayaan negara masing-masing. Faktor sejarah, ciri geografi serta budaya
yang saling terikat merupakan antara faktor penyatuan rakyat rantau Asia
Tenggara. Selain daripada memberikan tumpuan dalam aspek politik dan
perkembangan ekonomi, pertubuhan ASEAN juga bertindak sebagai medium
perkembangan sosiobudaya negara anggota dan menumpukan pembangunan komuniti ke
arah yang lebih berkesan melalui medium pendidikan, hubungan kebudayaan dan
pengurusan bencana.
4.1
Kerjasama dalam bidang pendidikan
Dalam konteks serantau, Malaysia
menjalinkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain dalam usaha
mengangkat martabat sistem pendidikan negara dan menjadikan Malaysia sebagai
hab pendidikan antarabangsa. Peranan yang dimainkan oleh beberapa institusi
serantau dan antarabangsa dalam usaha
memberikan sumbangan kewangan atau tenaga serta nasihat telah berjaya membawa
kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara-negara ASEAN. Pada
November 1965, Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara atau
dikenali sebagai SEAMEO telah ditubuhkan di Bangkok, Thailand. SEAMEO
ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara negara anggota untuk
perkembangan kemajuan dalam bidang Pendidikan, Sains dan Kebudayaan di
negara-negara Asia Tenggara (SEAMEO, t.t). Negara Thailand, Malaysia, Filipina,
Indonesia, Singapura, Laos dan Vietnam merupakan antara negara yang menyertai
SEAMEO. Organisasi ini menumpukan kepada perkembangan pendidikan dan
pembelajaran manusia dan meneroka sepenuhnya potensi rakyat. SEAMEO juga
mengekalkan kerja dan aspirasinya dalam pembangunan bangsa di rantau ini untuk
mewujudkan kehidupan yang lebih baik dalam kualiti dan ekuiti melalui bidang
pendidikan, pendidikan kesihatan, budaya, tradisi, teknologi maklumat dan
komunikasi, bahasa, membasmi kemiskinan, pertanian dan sumber asli. Hasil
kerjasama SEAMEO, para pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia
berpeluang untuk menyertai program pertukaran pelajar di mana-mana negara ASEAN
di mana universiti tersebut hendaklah menjalinkan kerjasama atau Memorandum
Persefahaman Kerjasama (MoU) bersama
mana-mana universiti di negara ASEAN atau luar negara melalui medium ASEAN itu
sendiri (Lili Arnakim & Mariam Mat, 2021). Sebagai contoh, Universiti
Malaya mengadakan program pertukaran pelajar
ke Thammasat University di
Thailand, Universitas Airlangga di
Indonesia dan Waseda University di Jepun. Peluang yang diberikan ini
membolehkan para pelajar untuk meneroka peluang dan pengalaman yang lebih luas
dan boleh diaplikasikan dalam bidang kerjaya pada masa hadapan. Malahan, SEAMEO
juga turut mendedahkan kepada kementerian pendidikan di setiap negara anggota
mengenai penambahbaikan dalam pembelajaran yang berkesan bagi meningkatkan
modal insan yang mempunyai potensi tinggi dalam pembelajaran serta mempunyai
pelbagai kemahiran.
Malaysia sebagai ahli SEAMEO telah menubuhkan 3 buah Pusat Serantau SEAMEO antaranya Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (SEAMEO RECSAM) di Pulau Pinang. Pada 31 Oktober 1977, SEAMEO RECSAM telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Matlamat utama penubuhan SEAMEO RECSAM adalah untuk membantu negara anggota untuk meningkatkan pengajaran sains dan matematik untuk meletakkan asas untuk memenuhi keperluan sumber manusia yang terlatih secara teknikal dan saintifik di rantau ini (RECSAM, t.t). Pusat ini juga dipertanggungjawabkan untuk melibatkan institusi latihan perguruan, kolej pendidikan serta fakulti sains dan matematik secara aktif dalam melaksanakan program-program yang berguna. Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi pusat serantau ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa pusat ini boleh terus berkembang dengan kehadiran sebuah kolej latihan perguruan di kawasan kampus yang turut memberikan tumpuan kepada pendidikan sains dan matematik walaupun hanya memfokuskan program pendidikan guru kebangsaan. Seterusnya, Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) yang terletak di Melaka merupakan pusat serantau yang mengkhusus dalam pendidikan untuk menyokong keperluan kanak-kanak kurang upaya, berbakat dan berbakat di rantau Asia Tenggara. Fungsi penubuhan SEAMEO SEN adalah untuk meningkatkan keupayaan guru, kakitangan, pegawai serta pakar Pendidikan Khas melalui kursus jangka pendek dan memperkukuhkan aktiviti penyelidikan, latihan dan pengurusan melalui pembangunan kakitangan, perkongsian institusi dan bantuan teknikal (SEAMEO, t.t). Pada Mac 2008, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah Pusat Serantau Pendidikan Khas dalam Persidangan SEAMEO ke-43. Pada Oktober 2010, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah merasmikan bangunan sementara SEAMEO SEN di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu di Melaka dan mula beroperasi secara rasmi pada 16 Jun 2013 dengan dibantu oleh ahli-ahli pasukan teras IPG berkenaan. Akhir sekali, Pusat Serantau bagi penyelidikan Mikrobiologi, Parasitologi dan Entomologi (SEAMEO TROPMED) yang terletak di Selangor. Objektif utama SEAMEO TROPMED adalah untuk menggalakkan kesihatan, mencegah dan mengawal penyakit di Asia Tenggara. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) merupakan salah satu institusi penyelidikan di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia. Fungsi utama IMR yang bertindak sebagai pusat serantau SEAMEO TROPMED adalah mengukuhkan keupayaan individu dan institusi dalam mikrobiologi, parasitologi dan entomologi melalui pelbagai program latihan dan ijazah lanjutan, hubungan, pertukaran kakitangan, forum saintifik, perkhidmatan perundingan teknikal, projek penyelidikan, penerbitan dan penyebaran maklumat (SEAMEO TROPMED Network, t.t). Rangkaian SEAMEO TROPMED di Malaysia telah berjaya melahirkan seramai 695 graduan untuk Diploma Gunaan Parasitologi dan Entomologi dari tahun 1970 hingga tahun 2023 dan 536 graduan untuk Diploma Mikrobiologi Perubatan dari tahun 1978 hingga tahun 2023 (KKM, 2024).
4.2 Kerjasama dalam bidang
kebudayaan
Kepelbagaian budaya di Malaysia ini telah membawa sumbangan yang bernilai dan besar terhadap landskap kebudayaan serantau dan terhadap pertubuhan ASEAN. Kerjasama Malaysia dalam bidang kebudayaan dapat dilihat apabila Malaysia berjaya menganjurkan festival kebudayaan dengan menubuhkan Tabung Kebudayaan ASEAN (Syed et al., 2017). Tabung ini merupakan satu inisiatif yang dibentuk oleh negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan identiti budaya ASEAN, menggalakkan pertukaran budaya antara negara anggota, dan membangunkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya di rantau ASEAN. Dana ini bertujuan untuk menyokong pelbagai projek dan program yang berkaitan dengan seni, budaya dan warisan tradisional di seluruh rantau ASEAN. Sumbangan Malaysia melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan boleh dilihat melalui sokongan dalam bentuk projek kebudayaan di peringkat serantau yang bertujuan untuk mempromosikan dan mengukuhkan integrasi budaya dalam kalangan negara anggota. Misalnya, Malaysia menjadi tuan rumah bagi Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) sebanyak 5 kali iaitu pada tahun 2013, 2015, 2017, 2019 dan 2023 bertempat di negeri Sarawak. Festival ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti tayangan filem, perbincangan panel, seminar dan anugerah untuk filem terbaik dalam pelbagai kategori. Malahan, buat pertama kali filem tempatan iaitu Sumpahan Jerunai telah dipilih sebagai filem pembukaan AIFFA pada tahun 2023. Pengajuran AIFFA merupakan satu platform penyatuan idea dalam komuniti perfileman di kalangan negara ASEAN disebabkan oleh persamaan nilai budaya (Farhana Ariffin – Julai 10, 2023). Sebagai tuan rumah AIFFA, Malaysia dan negeri Sarawak berjaya menunjukkan komitmen dalam menyokong industri perfileman di rantau ASEAN dan mengembangkan pengaruh sebagai pusat kebudayaan dan seni di rantau ini. Selain itu, Malaysia buat pertama kali menghoskan Pesta Lagu-lagu ASEAN ketiga bertempat di Auditorium Besar Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 4 Disember 1988 di mana pesta ini telah disertai oleh artis-artis tanah air dan dari negara-negara ASEAN. Festival ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya dan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN melalui muzik serta menjadi platform kepada artis untuk meraikan budaya masing-masing di samping memupuk persefahaman dan penghayatan yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat ASEAN. Pesta ini juga telah menjadi persembahan terakhir bagi sebahagian anggota Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM).
4.3 Kerjasama dalam pengurusan bencana
Rantau
Asia Tenggara merupakan antara kawasan yang paling terdedah dengan risiko
kejadian bencana alam berbanding kawasan lain di dunia disebabkan oleh
kedudukan rantau ini yang terletak dalam Ring
of Fire atau dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik. Kejadian bencana alam
yang menimpa telah memberikan kesan negatif yang amat besar seperti kerosakan
infrastruktur, ancaman penyakit berjangkit serta melibatkan angka korban dan
kemalangan jiwa yang tinggi. Malaysia menunjukkan komitmen yang tinggi dalam
menjayakan kerjasama antara negara anggota ASEAN dalam pengurusan bencana alam
dengan memainkan peranan yang aktif dalam ASEAN Militaries Ready Group on
Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG on HADR). AMRG on HADR
merupakan satu pasukan gabungan tentera ASEAN yang bersedia untuk diatur gerak
pada bila-bila masa dan berkoordinasi bagi memberikan bantuan kemanusiaan
kepada negara anggota ASEAN yang dilanda bencana besar atau krisis kemanusiaan
melalui Standard Operating Procedure
(SOP) yang dibangunkan bersama dengan negara anggota ASEAN, rakan dialog dan
organisasi antarabangsa (MINDEF, 2020). Malaysia menyumbang keupayaan
ketenteraan, kepakaran, bantuan perubatan dan sokongan logistik untuk menyokong
usaha tindak balas bencana di rantau ini melalui operasi mencari dan
menyelamat.
Kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara membolehkan Malaysia berperanan sebagai hab serantau dan menjadi pemain utama dalam inisiatif seperti Disaster Emergency Logistics Systems for ASEAN (DELSA). DELSA merupakan mekanisme utama untuk membolehkan penyediaan pantas barangan bantuan kepada negara anggota ASEAN yang menghadapi situasi kecemasan selepas ditimpa bencana yang dilancarkan pada 7 Disember 2012. Tujuan DELSA ditubuhkan adalah untuk membangunkan simpanan barangan bantuan serantau dan menyokong peningkatan kapasiti The ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) dan di kalangan negara anggota ASEAN dalam operasi logistik kecemasan (AHA Centre, t.t). Kemudahan laluan pengangkutan utama termasuk pelabuhan udara dan laut menjadikan Malaysia sebagai hab yang ideal untuk penyimpanan, pengedaran dan transit bekalan bantuan serta peralatan ke kawasan yang terjejas bencana. Malaysia juga mempunyai akses pasaran yang luas di mana rangkaian perdagangan Malaysia yang kukuh di ASEAN memudahkan akses kepada pasaran dan sumber yang diperlukan untuk bantuan bencana termasuk barangan bantuan, peralatan dan sumber lain yang diperlukan untuk operasi DELSA. Keupayaan logistik dan pengalaman Malaysia dalam menguruskan operasi kemanusiaan meletakkannya sebagai hab logistik utama untuk menyelaras dan menyokong aktiviti DELSA. Hal ini termasuk pergudangan, pengangkutan, pengedaran bekalan bantuan serta penempatan kakitangan terlatih dan peralatan semasa krisis. Malaysia memainkan peranan penting sebagai hab serantau dengan menyelaras dan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain, organisasi antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melibatkan diri dalam tindak balas bencana dan usaha bantuan. Kerjasama ini melibatkan keupayaan komunikasi, perkongsian maklumat dan pergerakan sumber untuk menyokong inisiatif DELSA dan aktiviti kemanusiaan lain.
5.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, Malaysia
merupakan negara anggota ASEAN yang amat aktif dan mempunyai keupayaan dalam
memberikan pandangan yang boleh diterima oleh negara-negara anggota.
Penglibatan Malaysia dalam pelbagai aspek telah menyumbang secara signifikan kepada
matlamat ASEAN untuk menggalakkan kerjasama serantau, kestabilan dan
kemakmuran. Pelaksanaan dasar luar Malaysia melalui dasar ASEAN is a corner stone to Malaysia telah berjaya membawa Malaysia
ke peringkat yang lebih baik melalui pertubuhan ASEAN untuk mencapai kemajuan
ekonomi, kestabilan, keselamatan dan kepentingan sosiobudaya. Pendekatan
bilateral, multilateral dan selektif yang diamalkan oleh Malaysia terhadap
ASEAN telah berjaya mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara anggota
yang lain tanpa sebarang konflik yang boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam
ASEAN. Peranan aktif Malaysia dalam pertubuhan ASEAN adalah didorong oleh
faktor-faktor seperti keamanan negara dan rantau, pecutan ekonomi, perpindahan
teknologi dan perkembangan sosiobudaya yang mampu dicapai di bawah platform
ASEAN. Malaysia berpendirian bahawa kepentingan serantau mestilah diambil kira
supaya hubungan baik antara negara anggota dapat dikekalkan agar manfaat
melalui kerjasama ASEAN ini dapat dinikmati oleh seluruh negara anggota secara
bersama.
Malaysia juga berpendirian untuk terus konsisten memihak kepada prinsip-prinsip penghormatan bersama, tidak campur tangan dan mementingkan permuafakatan yang membentuk asas rangka kerja diplomatik di ASEAN. Dengan mempertahankan prinsip-prinsip pusat dan kesatuan ASEAN, Malaysia boleh merealisasikan visi ASEAN ke arah penubuhan sebuah masyarakat yang bersatu padu, bersepadu dari segi ekonomi, bertanggungjawab sosial, dan berorientasikan rakyat. Kejayaan diplomatik yang dimainkan oleh Malaysia di ASEAN juga telah berjaya mengurangkan konflik, mempromosikan dialog dan membina kepercayaan dalam kalangan negara anggota sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan kestabilan rantau ini. Oleh itu, komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh Malaysia ini amat penting dalam memacu halatuju ASEAN dalam mendepani cabaran-cabaran baru yang akan dihadapi oleh rantau ini pada masa hadapan. Melalui kerjasama dan perkongsian dalam pertubuhan ASEAN, Malaysia kekal sebagai penggerak utama kemajuan dan pembangunan di Asia Tenggara.
6.0 RUJUKAN
Abdul Mahajar (2002). Integrasi
ekonomi ASEAN : Sejauh mana ia dapat memperkembangkan perdagangan serantau
negara-negara ASEAN. Jurnal Pembangunan
Sosial, (4&5), 121-128. https://repo.uum.edu.my/id/eprint/400/1/Abdul_Jumaat_Haji_Mahajar.pdf
Afendi Daud & Junaidi Awang
(2016). Meninjau kembali Dasar Pandang ke Timur Mahathir: Penelitian aspek
perlaksanaan dan implikasi. Malaysian
Journal of Society and Space, 12(9),
79-91. https://core.ac.uk/download/pdf/86409027.pdf
Association of Southeast Asian
Nations (ASEAN). (2021). ASEAN Digital
Masterplan 2025. https://asean.org/wp-content/uploads/2021/09/ASEAN-Digital-Masterplan-EDITED.pdf
Farhana Ariffin. (2023, Julai 10).
AIFFA 2023 Ingin Bawa Henry Golding Semula. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2023/07/1124838/aiffa-2023-i ngin-bawa-henry-golding-semula
Jabatan Digital Negara (JDN). (t.t). Perkhidmatan Digital Keseluruhan Kerajaan. https://www.malaysia.gov.my/portal/category/656?language=my
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). (2024, Februari 13). Lawatan kerja YB Timbalan Menteri Kesihatan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Setia Alam, Selangor. https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/9336
Kementerian
Komunikasi (KKOM). (2020, Disember 30). ADGMIN-ADGSOM:
Mesyuarat Bincang Agenda Pembangunan ICT-ASEAN. https://www.kkd.gov.my/en/public/news/18373-bernama-30-dis-2020-adgmin-adgsom-mesyuarat-bincang-agenda-pembangunan-ict-asean
Kementerian Pelaburan, Perdagangan
dan Industri (MITI). (2015, Mei 14). AFTA.
https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/1854
Kementerian Pelaburan, Perdagangan
dan Industri (MITI). (2015, Jun 23). Kenyataan
Media oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-19. https://www.miti.gov.my/index.php/blogs/view/358
Kementerian Pelaburan, Perdagangan
dan Industri (MITI). (2018, Mac 15). National
Single Window. https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/1149
Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF). (2020). Kertas Putih Pertahanan. Attin Press Sdn. Bhd.
Lili
Arnakim & Mariam Mat. (2021). Malaysia dan ASEAN: Kepentingan dan
pendekatan Malaysia terhadap ASEAN, 1967-2017. Journal of History Department, 30(2),
116-135. https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/32796/13956
Mohamed Aslam. (2004). Kawasan
Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China: Impak ke atas ekonomi ASEAN dan Malaysia. Journal of Southeast Asian Studies, 9, https://samudera.um.edu.my/index.php/jati/article/view/5929/3645
Mohamed
Aslam. (2005). Komuniti Ekonomi ASEAN: Mungkinkah menjadi realiti?. Journal of Southeast Asian Studies, 10, https://jati.um.edu.my/index.php/jati/article/view/6447/4111
Norshahida Yusoff. (2012, April 1).
Pulau Pinang Tumpuan Syarikat Multinasional. Buletin Mutiara. https://www.buletinmutiara.com/pulau-pinang-tumpuan-syarikat-multinasional/
Rizaudin Sahlan & Ridhuan
Abdullah (2007). Perdagangan luar Malaysia dalam konteks AFTA, NAFTA dan EU:
Pendekatan Model Graviti. International
Journal of Management Studies, 14(1),
167-198. https://repo.uum.edu.my/id/eprint/114/1/Rizaudin_Sahlan.pdf
Ruhanas Harun. (2009). The evolution and development of Malaysia’s National Security. Dalam Abdul Razak Baginda, Malaysia’s Defence & Security since 1957. Malaysian Strategic Research Centre.
Shahrizan
Salian. (2017, Mac 1). InvestKL Pikat 64 MNC, Pelaburan RM8.9 Bilion. Berita
Harian. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/5/2017/03/254566/investkl-pikat-64-mnc-pelaburan-rm89-bilion
Southeast Asian Ministers of
Education Tropical Medicine and Public Health Network (SEAMEO TROPMED Network).
(t.t). Regional Centre for Microbiology,
Parasitology and Entonomy (TROPMED/
Malaysia). https://seameotropmednetwork.org/malaysia_vision.html
Syed
Ismail Mustapa, Pushpavalli A. Rengasamey, Aris Hamzah & Rosly Sani.
(2017). Malaysia dan Hubungan
Antarabangsa. Sasbadi Sdn. Nhd.
The ASEAN Coordinating Centre for
Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre). (t.t). Disaster Emergency Logistics System For
ASEAN. https://ahacentre.org/wp-content/uploads/2018/01/DIGITAL-Version-FACTSHEETS-DELSA.pdf
The Regional Centre for Education in
Science and Mathematics (RECSAM). (t.t). Our
History. http://www.recsam.edu.my/index.php/about-us/general-info/our-history
The Southeast Asian Ministers of
Education Organization (SEAMEO). (t.t). History
and Background. https://seameosen.edu.my/history-and-background-of-seameo-sen/
Zaky Zainuddin. (2023, Februari 3). PROTON Sasar Jadi Tiga Jenama Kereta Terbesar ASEAN. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2023/02/1059228/proton-sasar-jadi-tiga-jenama-kereta-terbesar-asean
Zanariah Mutalib. (2023, Mac 30). Malaysia Gesa Kekalkan ASEAN Sebagai Zon Aman, Bebas Dan Berkecuali. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1083686/malaysia-gesa-kekalkan-asean-sebagai-zon-aman-bebas-dan-berkecuali

Comments
Post a Comment