KAJIAN KES : DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN & ANOR V NORDIN BIN SALLEH [1992] 1 MLJ 697

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan

Datuk Nordin bin Salleh

Allahyarham Datuk Wan Najib Wan Mohamad

1.0 FAKTA KES

1.1 Nordin Salleh (Responden pertama) dan Wan Najib (Responden kedua) telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan semasa Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990 dan mengangkat sumpah sebagai ahli dewan.

1.2 Setelah bertanding dan memenangi kerusi berkenaan sebagai calon Parti Melayu Semangat 46, Nordin Salleh dan Wan Najib telah mengumumkan keluar daripada parti tersebut dan menyertai UMNO.

1.3 Pada 25 April 1991, Dewan Undangan Negeri Kelantan (Perayu) telah meluluskan Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian pertama) (Pindaan) 1991 atau dikenali sebagai Enakmen Anti Lompat Parti 1991.

1.4 Pada 3 Julai 1991, sidang DUN Kelantan (Perayu) telah meluluskan resolusi menurut perundangan yang tidak sah bahawa responden pertama dan kedua tidak lagi menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dan mengisytiharkan kerusi bagi kawasan Sungai Pinang dan Limbongan adalah kosong.

1.5 Atas sebab kekosongan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah mengambil langkah untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan-kawasan pilihan raya tersebut dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 12 Ogos 1991 dan pilihan raya diadakan dan selesai pada 26 Ogos 1991.

1.6 Dalam PRK tersebut, responden pertama dan kedua telah menjadi calon Barisan Nasional namun telah ditewaskan oleh Haji Mahmud dan Haji Samat yang mewakili Parti Melayu Semangat 46.

1.7 Nordin Salleh telah ditewaskan oleh Haji Mahmud dengan majoriti 1,994 undi manakala Wan Najib telah ditewaskan oleh Haji Samat dengan majoriti 1,560 undi.

2.0 HUJAHAN KES

2.1 Mahkamah Tinggi

Hujah pihak plaintif (Nordin Salleh & Anor):

Memohon deklarasi bahawa Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan adalah tidak sah dan terbatal kerana ia ultra vires (di luar kuasa) di bawah Perkara 4(1) dan melanggar Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak asasi berpersatuan.

Hujah pihak defendan (Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor):

Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan tidak menghalang seorang anggota parti politik untuk sertai mana-mana parti politik. Perkara ini dianggap tidak bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

2.2 Mahkamah Agung

Hujah pihak perayu (Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor):

i. Membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang bertindak di luar kuasa dengan mengekalkan kedudukan Nordin Salleh dan Wan Najib sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang sah.

ii. Menegaskan beberapa pihak seperti Haji Mahmud, Haji Samat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dilibatkan dalam perbicaraan secara langsung. Oleh kerana itu, mereka tidak diberikan peluang untuk didengar menyebabkan berlaku perlanggaran terhadap rukun keadilan asasi.

Hujah pihak responden (Nordin Salleh & Anor):

Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

3.0 ISU KES

Sama ada Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Jika ya, ia akan terbatal oleh sebab perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara XXXIA Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan

(1) Jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang menjadi ahli suatu parti politik meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti itu, atau atas apa-apa sebab jua berhenti daripada menjadi ahli suatu parti politik itu, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong. 

(2) Bagi maksud Fasal (1), Dewan Negeri hendaklah menentukan sama ada sesuatu kerusi telah menjadi kosong dan penentuan yang dibuat oleh Dewan itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan jua.

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.

(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu. 

4.0 KEPUTUSAN MAHKAMAH

4.1 Keabsahan Perkara XXXIA Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan

Mahkamah telah memutuskan bahawa Perkara XXXIA Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan yang bertujuan untuk menguatkuasakan disiplin parti didapati telah menyekat hak ahli-ahli perundangan untuk berpersatuan secara bebas seperti yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk membentuk persatuan. Hak untuk berpisah daripada persatuan juga adalah termasuk dalam hak untuk membentuk persatuan. Berdasarkan Perkara 10(2)(c), hanya Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan sedemikian yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral. Sekatan ini juga tidak sejajar dengan alasan hilang kelayakan sebagai ahli badan perundangan di bawah Seksyen 6(1) Bahagian I Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan di mana peruntukan-peruntukan ini dimasukkan dalam tiap-tiap perundangan negeri.

Kehilangan kelayakan menjadi ahli Dewan Undangan

6 (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, seseorang hilang kelayakan, untuk menjadi ahli Dewan Undangan jika-

(a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal;

(b) dia seorang bankrap belum lepas;

(c) dia memegang sesuatu jawatan bependapatan;

(d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak meyerahkan apa-apa pernyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian;

(e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak atau Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripda dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas;

(f) dia hilang kelayakan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan berkaitan dengan pilihan raya ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan oleh sebab telah di sdabitkan atas suatu kesalahan sedemikian atau telah dibuktikan dalam prosiding yang berhubungan dengan sesuatu pilihan raya sebagai bersalah atas perbuatan yang menjadi kesalahan itu; atau

(g) dia telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan suatu negara asing atau telah dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di suatu negara asing atau telah membuat akuan setia kepada suatu negara asing.

Hakim Mahkamah Agung juga berhujah bahawa apabila Nordin Salleh dan Wan Najib dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka juga memiliki hak kebebasan bersuara dalam badan perundangan seperti yang dijamin oleh Perkara 72(2) Perlembagaan Persekutuan dan hak untuk terus menjadi ahli sepanjang tempoh penggal badan perundangan juga dijamin oleh Perlembagaan dengan kelayakan ini.

Perkara 72. Keistimewaan Dewan Undangan.

(2) Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri atau prosiding mana-mana jawatankuasanya."

Oleh kerana Perkara XXXIA dalam Perlembagaan Negeri Kelantan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia, maka ia terbatal di bawah Perkara 4(1)Perlembagaan Persekutuan.

4.2 Rayuan terhadap Deklarasi Mahkamah Tinggi

Hakim Mahkamah Agung berhujah bahawa memandangkan Seksyen XXXIA (1) di Bahagian I Perlembagaan Negeri Kelantan adalah tidak sah maka semua keputusan di bawahnya adalah tidak sah dari awal. Hal ini menyaksikan keputusan menyingkirkan Nordin Salleh dan Wan Najib (Responden) daripada keahlian Dewan Undangan Negeri Kelantan adalah tidak sah kerana menurut undang-undang yang tidak sah. Malahan, Pilihan Raya Kecil yang diadakan serta pemilihan Haji Samat dan Haji Mahmud sebagai ADUN Kelantan setelah memenangi pilihan raya tersebut juga adalah tidak sah. Seterusnya, Hakim Mahkamah Agung juga berhujah bahawa dalam keadaan tertentu, Hakim Yang Arif di Mahkamah Tinggi berhak mengikut budi bicaranya untuk mengisytiharkan bahawa responden berhak untuk dikembalikan semula sebagai ADUN Kelantan mengikut Peraturan 16 Perintah 15 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan pengisytiharan hak yang mengikat.

4.3 Rayuan terhadap ketidakterlibatan Haji Mahmud, Haji Samat dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dalam prosiding Mahkamah Tinggi

Keputusan mahkamah mengatakan bahawa mereka yang mungkin terjejas dengan pengisytiharan mahkamah (Haji Mahmud dan Haji Samat) tidak membuat permohonan ke mahkamah untuk terlibat dalam prosiding sebagai pihak yang berkepentingan. Malahan, Dewan Undangan Negeri Kelantan (Perayu) pada dasarnya sudah dianggap mewakili Haji Mahmud dan Haji Samat dalam tuntutan mahkamah tersebut. Hakim berhujah bahawa walaupun Haji Samat dan Haji Mahmud telah menjadi sebahagian daripada prosiding mahkamah sebelum ini, keputusannya akan tetap sama. Oleh itu, jelas sekali mereka tidak akan mengalami sebarang layanan yang tidak adil dan mahkamah boleh terlepas pandang ketidakterlibatan mereka dalam melaksanakan budi bicaranya. Seterusnya, ketiadaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam prosiding Mahkamah Tinggi tidak menghalang Hakim Mahkamah Tinggi daripada memberikan deklarasi kerana peranan SPR adalah semata-mata untuk menguruskan proses pilihan raya tanpa sebarang kepentingan langsung dalam keputusan malah keputusan litigasi tidak akan terjejas walaupun SPR dilibatkan dalam prosiding Mahkamah Tinggi.

5.0 KESIMPULAN

Mahkamah telah menolak kedua-dua rayuan yang dikemukakan oleh pihak Dewan Undangan Negeri Kelantan. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Kelantan tidak boleh menggubal undang-undang berkenaan lompat parti sebagai salah satu intipati bagi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan selagi tiada pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung di dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor. V. Nordin Salleh & Anor. (1) [1992] 1 CLJ

SUMBER RUJUKAN

https://drive.google.com/file/d/1Ct3SAcuvCGK6HTOm42U331MHsqccBg3-/view?usp=sharing

https://drive.google.com/file/d/1AeNU5XPdaLE4SsvCMv5xIKzJbMa5NQhI/view?usp=sharing

Penulis : Mohammad Faiez Iqmal bin Semi, Mahasiswa Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Comments