SEJARAH, KESAN DAN CABARAN PENUBUHAN KILANG PROTON DI TANJONG MALIM, PERAK

 

Kilang Proton yang terletak di Proton City, Tanjong Malim, Perak

Penulisan oleh : Mohammad Faiez Iqmal bin Semi, Barry Anak Boniface, Athiroh binti Abdul Ghani, Hidayah Damia binti Abdul Rahim & Nur Izzahtul Rusyda binti Kamri (2024) (Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris)

PENGENALAN

Industri automotif di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua jenis kenderaan iaitu kereta dan juga motosikal. Kedua-dua kenderaan ini berada di bawah kategori kenderaan penumpang dan komersial. Sejarah automotif di Malaysia ini bermula pada awal abad ke-19 dengan kehadiran kereta pertama di Tanah Melayu. Menurut sebuah artikel yang diperoleh secara dalam talian iaitu daripada Lauk Tambah pada tahun 2023, pemilik kedai perubatan Cina Eu Yan Sang yang bernama Eu Tong Sen merupakan pemilik kenderaan pertama di Tanah Melayu. Beliau dikatakan membawa masuk kereta ke Tanah Melayu pada tahun 1902. Pada awalnya, kereta ini hanya mampu dimiliki oleh golongan elit. Penggunaan kenderaan ini juga bukannya untuk kegunaan umum seperti pada zaman sekarang, ianya hanya berfungsi sebagai kenderaan persendirian yang digunakan untuk hal peribadi sahaja. Kemudian, Malaysia mula sedar bahawa sektor automotif ini mampu untuk menjadi pendapatan utama kepada ekonomi negara. Oleh itu, Malaysia cuba mengeluarkan kenderaan bermotor untuk tujuan komersial. Sektor automotif merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada masa kini. Perkara ini disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, negara kita memegang pasaran kenderaan penumpang terbesar di ASEAN dengan jualan tahunan melebihi 500,000 kenderaan dengan 90% daripadanya adalah dibuat dan dipasang di dalam negara. Jabatan Perdana Menteri (2005) ada menyenaraikan beberapa objektif untuk meransang perkembangan sektor automotif negara iaitu;

Objektif Rangka Dasar Automotif Nasional :

1. Menggalakkan sektor automotif yang kompetitif dan berdaya maju, terutamanya pembuat kereta nasional.

2. Menjadi hab serantau untuk pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan automotif.

3. Meningkatkan nilai tambah dan keupayaan tempatan di dalam sektor automotif.

4. Menggalakkan pembuat kenderaan dan vendor komponen Malaysia yang berorientasikan eksport.

5. Menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan meluas di dalam sektor.

Industri automotif di Malaysia sudah tidak asing lagi dengan jenama kenderaan Proton. Proton ini merupakan akronim bagi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd. Menurut Proton Car Virtual Showroom (2011) , Proton ini ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan bayaran modal sebanyak RM150 juta. Penubuhan Proton ini merupakan gagasan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu. Penubuhan Proton ini disokong oleh Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (HICOM). Antara pemegang saham Proton pada ketika itu adalah Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (70%), Mitsubishi Motors Corporation (15%) dan juga Mitsubishi Corporation, Jepun (15%). Menurut Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2005, penubuhan Proton ini kemudiannya diikuti oleh Perodua pada tahun 1993. Kedua-dua jenama automotif ini merupakan pemangkin kepada perkembangan sektor automotif di Malaysia. Kewujudan kedua-dua jenama automotif ini telah menandakan bermulanya fasa baru bagi sektor automotif Malaysia di mana teknologi dan kemampuan tempatan dibangunkan sejajar dengan Pelan Induk Industri Kerajaan. Perkara ini merupakan salah satu kebanggaan negara Malaysia kerana telah menjadi satu-satunya negara sedang membangun di dunia yang memiliki kemampuan reka bentuk automotif dan kejuruteraannya sendiri. Antara kenderaan yang dikeluarkan oleh Proton adalah Proton Arena, Proton Gen-2, Proton Iswara, Proton Juara, Proton Persona, Proton Perdana, Proton PERT, Proton Putra, Proton Saga, Proton Satria, Proton Savvy, Proton Tiara, Proton Waja, Proton Wira dan Proton Exora.

 Sejarah penubuhan dan perkembangan Industri Automotif Proton di Tanjong Malim, Perak

Menurut Pekhabar pada 26 Februari 2005, kilang Proton Tanjung Malim telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Penubuhan kilang baharu Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. di Tanjung Malim ini telah mencapai kos sebanyak RM1.8 billion maju di negeri Malaysia Perak. Kilang tersebut dijangka akan dibuka pada Ogos 1998 kerana telah ditangguhkan kerana krisis kewangan Asia pada tahun 1997. Namun begitu, ia telah dihidupkan dan disambung semula pada tahun 2001 dan telah siap sepenuhnya serta beroperasi pada tahun 2003. Kilang 1280 ekar yang baharu juga telah dibangunkan dan menjadi sebahagian daripada projek Bandar raya Proton yang akan meliputi 4000 ekar tanah di Tanjung Malim. Kawasan bandar raya Proton ini meliputi kawasan perumahan, komersial, institusi, industri dan juga rekreasi. Setiap tahun, kilang tersebut akan mengalami kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 kenderaan dan mampu diperluakan kepada satu juta unit pada masa akan datang. Kilang asal Proton yang terletak di Shah Alam Selangor dan beroperasi sejak 1985 telah melengkapi kilang Proton yang baharu di Tanjung Malim. Kilang tersebut terdiri daripada lima bangunan utama. Antaranya adalah kilang Enjin dan Transmisi (ETM), Tekan Tera, pemasangan Badan, Mengecat dan Trim serta Pemasangan Akhir. Penubuhan Proton di Tanjung Malim didorong oleh beberapa faktor yang diambil kira dari segenap aspek bagi memastikan penubuhan kilang Proton ini lancar dan mencapai matlamat yang diimpikan.

Faktor yang mendorong penubuhan industri automotif Proton di Tanjong Malim adalah disebabkan oleh bandar Tanjung Malim sudah dilengkapi asas-asas yang diperlukan untuk menyokong penubuhan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang disediakan menerusi pelaksanaan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Muallim 2035. Menurut Harith dan Syamsiah (2024), Daerah Tanjung Malim telah menjadi tuan rumah dalam projek ini yang bertujuan untuk membangunkan bandar automotif negara. Perubahan landskap Tanjung Malim juga telah menjadikan Tanjung Malim sebagai hab automotif tersohor negara dan pusat penjanaan ekonomi. Keyakinan menebal potensi Tanjung Malim untuk mencapai status setaraf “Motor City Detroit” dan Wolfsburg di Jerman selaras dengan pembangunan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang antaranya dirancangkan mengeluarkan kendaraan tenaga baharu (NEV).

Selain itu, kerancakkan pembangunan serta kedudukan Muallim di lokasi yang strategik yang bersempadan dengan Selangor juga menjadi asbab Tanjong Malim dipilih sebagai pusat penubuhan industri automotif Proton. Hal ini telah dikatakan demikian kerana Tanjong Malim terletak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan yang memudahkan pengangkutan barangan dan komponen kenderaan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Ia juga memberikan akses yang baik ke pelabuhan dan lapangan terbang untuk tujuan eksport. Tambahan lagi, lokasi Muallim dianggap strategik kerana ia proksimitinya dengan pasaran utama. Selangor merupakan salah satu negeri yang paling maju dan padat di Malaysia dengan pasaran kenderaan yang besar. Ekoran itu, ia memudahkan akses kepada pasaran besar dan rangkaian pembekal serta pelanggan. Kedekatan dengan Selangor juga memberikan akses tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman dalam industri automotif, serta peluang untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan yang terletak di negeri ini. Bukan itu sahaja, pembangunan kilang proton di Tanjung Malim juga membantu dalam merangsang ekonomi tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti perniagaan di kawasan tersebut.

Di samping itu, faktor pembukaan kilang proton di Tanjung Malim juga adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan. Menurut Rosman Shamsudin (2017), pembinaan kilang automotif Proton di Tanjung Malim bakal mewujudkan 20, 000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat, terutama golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang automotif negara dan juga menggalakkan pembinaan kilang elektronik berteknologi tinggi di kawasan sekitar yang akan berperanan membantu Proton. Antara jenis peluang pekerjaan yang dihasilkan adalah pekerjaan dalam pembuatan seperti operator mesin, pekerjaan sokongan seperti logistik, pekerjaan profesional seperti jurutera, pekerjaan dalam sektor perkhidmatan seperti keselamatan serta kebersihan kilang, pekerjaan dalam bidang latihan dan pendidikan seperti jurulatih teknikal dan lain-lain. Pembukaan kilang Proton di Tanjung Malim tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk tempatan malah juga membuka peluang pekerjaan yang luas serta membantu meningkatkan tenaga kerja sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut.

Seterusnya, faktor penubuhan kilang automotif Proton di Tanjung Malim juga disebabkan oleh kawasan perindustrian yang sesuai. Hal ini dikatakan demikian kerana Tanjung Malim telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk pembangunan perindustrian kerana tanah yang mencukupi di mana kawasan perindustrian di Tanjung Malim ini menyediakan ruang yang luas untuk pembinaan kilang dan pengembangan fasiliti masa hadapan. Tanah yang mencukupi ini membolehkan perancangan yang lebih sistematik untuk infrastruktur kilang seperti bangunan pengeluaran, gudang dan lain-lain. Tambahan lagi, kawasan ini juga telah dikenal pasti dan diwartakan sebagai zon perindustrian yang bermaksud ianya direka khas untuk menyokong aktiviti-aktiviti perindustrian dan pembuatan termasuklah ketersediaan utiliti penting seperti elektrik, air dan lain-lain. Ruang yang mencukupi ini juga membantu untuk pertumbuhan dan pengembangan Proton Tanjung Malim pada masa akan datang. Perkara ini penting untuk matlamat meningkatkan kapasiti pengeluaran atau memperkenalkan produk baru. Misalnya, menurut Bisnes BH (2019), Proton mula mengeluarkan X70 di Tanjung Malim. Kilang Tanjung Malim bukan sahaja menghasilkan produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely, tetapi ia juga akan berfungsi menjadi pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan kerana Proton akan mula mengeksport produknya ke negara-negara di seluruh dunia. Proton telah mencatatkan sejarah dengan mengambil satu langkah ke hadapan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global. Kombinasi faktor-faktor ini menjadikan Tanjung Malim sesuai untuk pusat penubuhan automotif Proton. Sejajar dengan penubuhan itu, syarikat Proton Tanjung Malim menunjukkan proses perkembangan dan transformasi dari semasa ke semasa. Perkembangan ini melibatkan perubahan dalam pelbagai aspek termasuklah aspek operasi, strategi, produk, dan struktur organisasi syarikat.

Evolusi syarikat Proton di Tanjung Malim dalam membangunkan operasinya mencerminkan usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kecekapan, kualiti serta daya saing dalam industri automotif. Kilang Tanjung Malim ini merupakan kebahagian daripada usaha Proton bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memodenkan fasiliti pembuatan mereka. Teknologi moden dalam evolusi Proton di Tanjung Malim merupakan langkah yang membantu syarikat meningkatkan kualitinya dalam industri automotif. Bagi aspek automasi dan robotik, Proton Tanjung Malim telah memperkenalkan automasi dalam barisan pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan dan juga mengurangkan kos. Automasi ini membantu mempercepatkan proses pengeluaran dan mengurangkan kesilapan manusia. Penggunaan robotik dalam proses pemasangan, pengelasan dan pengecatan pula adalah untuk memastikan konsistensi dan ketepatan yang tinggi serta bagi membolehkan robot-robot ini untuk menjalankan tugas-tugas yang berulang dengan cepat dan efisien.

Proton Tanjung Malim juga menjadi pusat pelancaran model baru untuk beberapa model baru Proton. Antara model keluaran baru Proton adalah seperti Proton Persona, Proton Iriz dan juga Proton X70. Pengeluaran model-model ini sangat membantu untuk meningkatkan reputasi serta daya saing Proton di pasaran domestik dan antarabangsa. Antara model produk Proton yang menjadi model pembangunan rakyat adalah keluaran Proton Persona. Proton Persona diperkenalkan sebagai model kereta yang lebih mampu milik dan juga popular di kalangan rakyat Malaysia. Kilang Tanjung Malim ini menjadi pusat pengeluaran utama bagi model ini. Proton Saga baru juga merupakan sebahagian daripada strategi untuk terus menyediakan kenderaan yang berpatutan kepada pasaran domestik. Pembangunan model baru di kilang Proton Tanjung Malim mengukuhkan komitmen Proton untuk terus berinovasi dan memenuhi keperluan pasaran yang berubah. Melalui pengenalan teknologi moden, pelancaran model baru dan sebagainya, Proton Tanjung Malim telah berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif dan terus bersinar serta berkembang di peringkat global.

Selain syarikat Proton yang sentiasa membangun dalam bentuk operasinya, syarikat Proton juga meningkatkan mutu fasiliti dan kemudahan kepada para pengguna atau para pekerja untuk menjamin keselesaan mereka. Terdapat banyak kemudahan yang disediakan di kilang Proton yang direka dan dibina khas untuk keperluan para pekerja. Melalui pemerhatian semasa kajian lapangan dijalankan, pengkaji mendapati terdapat kemudahan untuk para pekerja Proton bagi melakukan aktiviti riadah. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat court yang luas dan sesuai untuk aktiviti futsal, badminton dan bola sepak. Kemudahan untuk melakukan aktiviti riadah ini sedikit sebanyak telah mendedahkan bahawa kilang Proton bukan hanya mengutamakan kualiti pembuatan kereta namun menjaga kebajikan para pekerja dari sudut kesihatan melalui penyediaan kemudahan untuk para pekerja Proton mudah melakukan aktiviti riadah ketika mempunyai masa terluang.

Gambar 1: Gelanggang tempat beriadah pekerja Proton


Selain itu, terdapat juga kompleks sukan yang dibina khas untuk para pekerja Proton bagi melakukan aktiviti sukan . Kompleks sukan yang dibina ini bertujuan menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang sesuai bagi pelaksanaan aktiviti sukan . Kompleks sukan yang dibina ini juga mampu mendorong kesihatan dan kesejahteraan para pekerja proton. Hal ini dikatakan demikian kerana pembinaan kompleks sukan ini berpotensi untuk memotivasikan para pekerja untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Selain itu, kompleks sukan yang dibina ini sedikit sebanyak akan menggalakkan semangat komuniti antara para pekerja Proton. Melalui penglibatan sukan yang diadakan akan memupuk sikap untuk saling berinteraksi dan menyemai semangat kerjasama antara para pekerja proton tersebut. Tambahan lagi, tempat untuk bersukan yang disediakan juga dapat menjadi tempat untuk pekerja Proton sendiri melakukan aktiviti-aktiviti sosial. Misalnya seperti permainan berpasukan dan acara rekreasi yang membantu pekerja berinteraksi dan sekaligus dapat membina hubungan yang baik sesama mereka serta dapat mengurangkan stress atau tekanan selepas waktu kerja. Jelaslah kompleks sukan di Proton Tanjung Malim ini merupakan komponen yang penting dalam strategi keseluruhan syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan, produktiviti dan kepuasan pekerja. Dengan adanya kemudahan yang menyokong kesihatan fizikal dan mental, kompleks sukan Tanjung Malim ini secara tidak langsung juga dapat membantu mencipta persekitaran kerja yang                   positif dan seimbang.

Gambar 2: Kompleks Sukan Proton

Di samping itu, di dalam kawasan kilang Proton juga terdapat sebuah masjid untuk memberi kemudahan kepada para pekerja menunaikan ibadah solat. Pembinaan masjid yang luas telah memberi kesan positif terhadap para pengguna kerana lebih selesa untuk menunaikan ibadah dengan suasana yang tenang membantu untuk lebih khusyuk ketika solat. Bukan itu sahaja, pembinaan masjid di kilang proton juga sebagai simbol identiti agama . Masjid menjadi simbol keagamaan dan identiti Islam untuk para masyarakat dan mewujudkan keharmonian dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam. Masjid yang disediakan di sekitar kilang Proton ini mampu menjadi tempat pekerja Proton untuk menunaikan tanggungjawab agama tanpa perlu meninggalkan kawasan kerja. Masjid tersebut juga digunakan untuk solat Jumaat dan membolehkan pekerja Muslim untuk menunaikan solat dengan mudah dan tidak perlu keluar dari kawasan kilang. Bukan itu sahaja, juga terdapat ceramah dan kuliah mingguan atau bulanan yang diadakan bagi memberikan pencerahan dan juga motivasi kepada pekerja. Tuntasnya, masjid Proton Tanjung Malim adalah institusi yang penting bukan sahaja hanya sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, sosial dan kesejahteraan bagi pekerja. Dengan menyediakan ruang untuk solat, aktiviti komuniti dan sebagainya, masjid ini mampu memperkasa perkerja dari segi spiritual, mental dan sosial, yang seterusnya menyumbang kepada persekitaran kerja yang harmoni dan produktif.

Gambar 3: Masjid Proton


Kemudahan seterusnya ialah terdapat kafe di sekitar kilang Proton yang mampu menjimatkan masa para pekerja kilang tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, para pekerja tidak perlu bergegas ke tempat lain untuk mendapatkan makanan kerana di kafe di sekitar kilang sudah disediakan dengan pelbagai juadah makanan mulai dari hidangan ringan seperti kopi dan kuih sehinggalah hidangan utama dan minuman khas. Bukan itu sahaja, kafe juga berperanan sebagai tempat bersantai dan beristirehat. Biasanya kafe makan menyediakan suasana yang santai dan nyaman bagi para pelanggan untuk bersantai, beristirehat dan menikmati waktu luang atau waktu rehat mereka. Jelaslah dengan adanya kafe atau ruang makan yang disediakan di Proton Tanjung Malim ini telah memberikan pelbagai fungsi penting dalam meningkatkan kesejahteraan, produktiviti dan semangat kerja pekerja. Kedudukan kafe terletak di dalam Komp Dengan menyediakan makanan dan minuman yang berkualiti serta ruang untuk interaksi sosial, kafe ini juga mampu memainkan peranan yang signifikan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan harmoni.

Penyediaan tempat letak kenderaan ini sering tidak diambil peduli oleh sesetengah pihak sama ada untuk urusan pekerjaan atau urusan membeli belah. Namun, di kilang proton terdapat tempat letak kenderaan yang sangat luas. Penyediaan tempat letak kenderaan yang luas ini mampu meningkatkan keamanan . Hal ini dikatakan demikian kerana, tempat parkir yang luas akan memberikan keamanan yang lebih baik bagi kenderaan dan barang-barang yang terdapat di dalam kereta. Pengawasan yang baik serta reka bentuk yang tersusun dapat mengurangi risiko pencurian atau kerosakan kenderaan. Hal ini mampu untuk menjamin keselamatan para pekerja di proton daripada berlaku sebarang kecelakaan.

Rajah 4: Tempat letak kenderaan kilang Proton

Mesin makanan layan diri atau lebih dikenali sebagai “ vending machine   juga terdapat di sekitar kilang proton Tanjung Malim . Vending machine yang disediakan ini telah memberi kemudahan kepada para pekerja proton untuk membeli barang tanpa perlu berinteraksi secara langsung dengan staf atau juruwang. Selain itu, vending machine ini juga mampu menyediakan layanan sepanjang waktu termasuk di luar waktu bekerja atau berfungsi secara 24 jam. Sepertimana yang kita tahu vending machine menyediakan makanan dan minuman yang boleh diakses sepanjang masa, termasuk di luar waktu operasi kafe. Ini amat berguna untuk pekerja yang bekerja pada waktu malam atau pada waktu rehat yang tidak tetap. Bukan itu sahaja, vending machine yang terdapat di sekitar kawasan Proton juga diletakkan di lokasi yang strategik bagi tujuan memudahkan pekerja untuk mendapatkan makanan dan minuman tanpa perlu berjalan jauh. Kemudahan ini juga adalah memudahkan pekerja untuk mendapatkan makanan dan minuman secara cepat dan tidak perlu beratur atau menunggu makanan disediakan. Pekerja juga dapat mengurus masa rehat mereka dengan lebih efektif dan memberikan mereka lebih banyak masa untuk berehat serta kembali bekerja dengan segar. Oleh itu jelaslah bahawa kemudahan seperti vending machine ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada para pekerja Proton.

Secara totalnya, industri automotif kilang Proton di Tanjung Malim mempunyai sejarah dan asbab yang utuh menyebabkan ia dibina dan berkembang dari semasa ke semasa. Kini, kilang Proton Tanjung Malim semakin dikenali ramai lebih-lebih lagi menjadi tumpuan kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk dijadikan sebagai satu tempat lawatan sambil belajar yang semestinya mendatangkan manfaat kepada pelajar.


Menilai Kesan Penubuhan Industri Automotif Proton Terhadap Pembangunan Sosioekonomi di Tanjong Malim, Perak.

1.      Membuka pelbagai peluang kejuruteraan kejituan

Impak penting daripada industri automotif ini ialah penciptaan peluang pekerjaan dan dan pembangunan tenaga kerja yang mahir serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Hal ini demikian kerana, industri automotif proton memiliki kuota buruh yang besar untuk mengendalikan segala alatan, mesin dan juga sistem di industri tersebut. Hal ini dapat meningkatkan pendapatan perkapita, kuasa beli dan tabungan sekaligus meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup. Hal ini juga dapat mengurangkan bilangan atau jumlah penganggur di kawasan setempat. Peluang pekerjaan wujud dalam bidang penguruan industri automotif, teknikal dan operator pengeluaran. Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz peluang muncul dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, sistem simpanan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV) seperti stesen pengecas, operasi dan penyelenggaraan EV.

Di samping itu, terdapat juga peningkatan pendidikan dan kemahiran iaitu kehadiran industri automotif mendorong pendidikan teknikal dan vokasional dalam komuniti serta memperkukuhkan kemahiran pekerja tempatan untuk memenuhi permintaan industri berkembang. Dengan adanya pekerja yang memiliki keamahiran dalam bidang automotif ini maka industri automotif ini akan menyumbang kepada kejayaan terhadap Industri Automotif Proton di Tanjong Malim tanpa melibatkan pakar-pakar daripada luar. Pekerja yang memiliki kemahiran ini kebiasaannya memiliki kemahiran dalam bidang kejuruteraan sama ada memiliki sijil vokasional, diploma kejuruteraan atau ijazah sarjana muda kejuruteraan.

2.      Mengurangkan pergantungan terhadap barang import

Melalui penanaman modal/pelaburan untuk membuka dan mengoperasikan industri, Sebahagian besar dana atau modal untuk mengembangkan industri negara datangnya daripada pelaburan terus asing iaitu FDI. Melalui pemindahan teknologi dan inovasi. Pelabur asing membawa bersama teknologi dan kepakaran mereka untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan berdaya saing. Kesannya industri di Malaysia berkembang pesat. Pelaburan asing dalam sektor pembuatan datangnya dari syarikat Multinasional (MNCs)- JVC, Samsung, Nokia, IBM, ACER, SONY dan lain-lain. Kemajuan sosioekonomi di Tanjong Malim dapat mengurangkan pergantungan terhadap barangan import kerana Industri Automotif di Tanjong Malim berupaya menghasilkan produk sendiri. Contohnya, pengeluaran kenderaan tempatan seperti Proton wira, iswara, juara dan sebagainya telah berjaya menguasai pasaran kenderaan dalam negara. Hal ini juga tidak langsung menyekat pengaliran mata wang Malaysia ke luar negara. Bukan itu sahaja, dengan adanya pengeluaran kenderaan sendiri yang berkualiti stetanding kenderaan luar negara mampu menyekat proses import. Oleh itu, masyarakat tidak lagi perlu membayar kos import beserta cukai yang dikenakan bersamaan. Hal ini juga secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan negara seperti KDNK dan pendapatan eksport yang boleh membaiki defisit imbangan dagangan negara.

Seterusnya, peningkatan permintaan untuk kenderaan tersebut mendorong pembangunan dan inovasi dalam bidang bateri, pengurusan tenaga dan komponen elektrik lain. Ini boleh membawa kepada perkembangan teknologi lebih canggih yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan persekitaran inovasi. Selain itu, tinjauan yang telah dilakukan di industri automotif beberapa hari yang lalu mendapati terdapat banyak industri yang ditubuhkan seperti industri penyimpanan rangka kereta, industri pengujian enjin, industri pemasangan dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa industri automotif ini dibina secara lengkap agar mencetuskan pertumbuhan ekonomi setempat dengan menarik pelaburan asing dan tempatan. Oleh itu, perkara ini memberikan impak yang positif terhadap sosiekonomi di Tanjong Malim misalnya dalam aspek perniagaan tempatan.

3.      Menyuntik kemasukan ekonomi baru dan membentuk ekosistem ekonomi baru.

Kewujudan pembangunan industri baru yang diperkatakan baru-baru ini mampu menyuntik impak positif terhadap persekitaran setempat di Perak. Ia juga mampu menyuntik kemasukan ekonomi baru di Perak dengan secara tidak langsung membentuk ekosistem ekonomi baru. Perancangan pusat perindustrian itu sebagai pemangkin penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan fasiliti di Perak sejajar dengan pembangunan yang diwujudkan. Ia juga akan membantu peningkatan daya saing dalam sektor perniagaan dengan adanya peningkatan kuasa membeli dapat memacu Perak ke arah negeri yang lebih maju,

Selain itu, industri automotif di Tanjong Malim ini mampu menyumbang kepada pembangunan infrastruktur untuk menyokong industri seperti jalan raya dan kemudahan logistik yang ditingkatkan justeru memberi manfaat kepada komuniti tempatan dalam hal aksesibiliti dan kemudahan perjalanan. Antara kemudahan yang terdapat di industri automotif di tanjong malim adalah pejabat pentadbiran, kompleks sukan, masjid, kafetaria, pondok keselamatan dan lain-lain lagi. Hal ini sedikit sebanyak memberikan kemudahan pekerja di situ dalam menjalankan tugasan harian tanpa mengalami sebarang kesukaran atau masalah. Oleh itu, jelaslah bahawa penubuhan industri automotif menyumbang kepada sosioekonomi di Tanjong Malim. Oleh yang demikian, bandar kecil Tanjong Malim kini sudah mula berkembang walaupun secara perlahan.

4.      Menggalakkan pembangunan kawasan

Penubuhan industri automotif di Tanjong Malim secara tidak langsung menggalakkan pembangunan kawasan. Perluasan dan peningkatan insentif industri automotif oleh kerajaan akan menarik lebih banyak syarikat tempatan untuk mencari peluang pengembangan. Ini dicapai dengan meneroka produk berteknologi tinggi baharu dan tokokan nilai tinggi, di samping mengembangkan rantaian bekalan mereka di rantau ini. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, insentif baharu itu tepat pada masanya kerana industri automotif di ASEAN sedang berkembang pesat dengan negara-negara terus menginovasikan dasar dan strategi bagi menarik pelaburan terutama bagi kenderaan elektrik. “Malaysia mengharapkan kesan limpahan positifnya seperti pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem industri tempatan,” katanya.

Selain itu, MIDA berkata, ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pemain industri automotif di seluruh dunia dan hab bagi kenderaan cekap tenaga. Menurut agensi itu, meskipun objektif utama insentif yang diperluaskan itu adalah untuk menggalakkan pelaburan dana kenderaan cekap tenaga, skop aktiviti tambahan kini layak mendapat insentif industri automotif. Menurut MIDA (2021) “Ia merangkumi pelbagai produk berteknologi tinggi dan bernilai tinggi termasuk kenderaan generasi seterusnya, kenderaan elektrik dan komponen berkaitan serta komponen teras dan kritikal,” katanya.

5.      Meningkatkan jumlah penjualan kereta tempatan

Selain itu, impak positif lain susulan pilihan raya umum terhadap industri automotif itu adalah pelaksanaan tempoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa Jun sehingga Ogos lalu. Pengumuman itu ternyata memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan yang melonjak 50.1 peratus pada Jun lalu berbanding Mei dan terus mencecah angka melebihi 60,000 unit sehingga Ogos. Namun, selepas pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September, angka jualan kenderaan susut 52 peratus. Namun begitu, pelaksanaan GST ini tidak menjejaskan sasaran jumlah jualan kenderaan (TIV) Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu sebanyak 585,000 bagi tahun ini yang disifatkan sebagai sesuatu yang mampu dicapai. Ini berikutan bagi tempoh Januari hingga November, TIV yang dicatatkan adalah sebanyak 550,506 unit. Mengulas perkara itu, Ketua Kejuruteraan PROTON (2018), yang ditemui di Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAC) baru-baru ini, berkata syarikat automotif itu merancang untuk memperkenalkan model berkuasa turbo dengan kapasiti enjin 1,500cc tidak lama lagi. PROTON juga menyaksikan perkembangan menarik apabila melancarkan kenderaan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya yang dinanti ramai, Proton X70 pada 12 Disember lalu dengan harga (atas jalan tanpa insurans) antara RM99,800 bagi model varian Standard Pacuan Dua Roda (2WD) hingga RM123,800 seunit untuk Premium 2WD. Oleh itu, jelaslah bahawa penubuhan industri automotif Proton di Tanjung Malim mampu meningkatkan penjualan kereta tempatan di dalam negara agar masyarakat akan membeli serta menyokong jenama tempatan hingga mendapatan permintaan daripada luar negara.

Cabaran industri automotif Proton

1.      Persaingan pasaran

Proton bersaing dengan industri automotif tempatan seperti Perusahaan Otomobil Kedua Berhad (Perodua) dan pelbagai jenama industri automotif antarabangsa seperti Honda, Mitsubishi Motors, Mercedes-Benz dan lain-lain yang beroperasi di pasaran domestik Malaysia. Menurut firma perunding IHS Markit, PROTON masih lagi merupakan pemain industri yang kecil dan sukar untuk bersaing di rantau ASEAN berbanding jenama industri automotif dari Jepun (Reuters, 2020). Toyota menguasai 30 peratus pasaran jualan ASEAN diikuti oleh Honda yang menguasai 13 peratus dan Mitsubishi dengan 10 peratus manakala PROTON berada di tangga ke-11 dengan tiga peratus pasaran. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar negara yang tidak memberikan tumpuan kepada pembangunan industri tempatan dan lebih memfokuskan kepada pengguna merupakan antara punca kemerosotan jualan Proton (BERNAMA, 2014). Pada tahun 2021, Proton juga merancang untuk melakukan kemunculan semula di dua pasaran terbesar di Asia Tenggara iaitu negara Thailand dan Indonesia yang dilihat berpotensi untuk meningkatkan jualan Proton. Namun begitu, tahap persaingan di pasaran kedua-dua buah negara tersebut adalah amat sengit dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa yang telah melabur dalam fasiliti produksi untuk pasaran tempatan dan eksport.


2.      Perubahan teknologi

Industri automotif sedang mengalami transformasi yang mendalam dengan mula mengalihkan tumpuan terhadap pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan teknologi sumber tenaga alternatif lain. Hal ini menyebabkan Proton perlu memastikan keupayaan untuk beradaptasi dengan tren ini secara berkesan. Kemunculan digitalisasi dan model perniagaan baru yang terus merevolusikan dunia akan turut memberi impak pada industri automotif seperti Proton di Malaysia. Tren yang digerakkan oleh teknologi seperti mobiliti yang pelbagai, pemanduan tanpa kawalan, pengelektrikan dan penyambungan dijangka akan mempengaruhi pembentukan industri automotif dalam tempoh 10 hingga 15 tahun sekali gus memberikan cabaran buat industri automotif seperti Proton (MIDA, t.t). Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, masalah-masalah seperti kekurangan kereta EV mampu milik, penerimaan pengguna yang perlahan, kekurangan dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV, kekurangan pembangunan bakat dalam segmen EV serta kekurangan pelaburan dalam teknologi berkaitan merupakan antara cabaran utama kepada Proton untuk membolehkan pembangunan dan sokongan kepada industri EV terus bergerak pada masa hadapan (BERNAMA, 2022).

3.      Ancaman kemelesetan ekonomi global

Masalah kemelesetan ekonomi global akan memberikan kesan yang berterusan kepada industri automotif dan boleh menyebabkan berlaku peningkatan kos bahan mentah dan kos pengeluaran. Di peringkat global, kebergantungan terhadap peningkatan kepesatan teknologi, keperluan untuk mematuhi perundangan yang ketat dalam aspek eksport dan tingkat harga petrol dunia yang tidak menentu akan menyebabkan margin keuntungan yang lebih rendah dan merupakan salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh industri automotif Proton. Sebagai contoh, isu kekurangan bekalan cip komputer susulan sekatan pergerakan di negara China sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan pengeluaran kenderaan di seluruh dunia termasuk Malaysia pada tahun 2022 (Zaky, 2022). Isu ini telah menyebabkan syarikat automotif terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang lama untuk mendapatkan bekalan cip tersebut daripada pihak pengilang sekali gus mengakibatkan peningkatan tempoh waktu menunggu tempahan kenderaan baharu.

4.      Perundangan antarabangsa

Pada tahun 1990, negara Singapura telah memperkenalkan sistem Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) selama 10 tahun yang diperolehi melalui lelongan sistem kuota setiap dua minggu sebagai syarat pembelian kenderaan yang bertujuan untuk mengelakkan kesesakan dan mengawal pemilikan kenderaan bermotor (Agensi, 2023). Kenderaan yang berusia lebih 10 tahun akan diberikan pilihan sama ada ingin melanjutkan COE tersebut setiap lima atau 10 tahun dengan bayaran yang tinggi atau memilih untuk melupuskan kenderaan tersebut di bawah polisi yang dikenali sebagai Sistem Kuota Kenderaan (VQS). Pada tahun 2023, negara Singapura juga telah meningkatkan kos sijil pemilikan kenderaan bagi keluarga besar di Singapura ke satu rekod tertinggi yang baharu iaitu sebanyak S$146,002 bersamaan RM504,010. Polisi 10 tahun jangka hayat kenderaan ini juga turut dilakukan oleh negara Jepun dan Eropah yang lain. Bagi negara Jepun, pihak kerajaan telah menetapkan bahawa setiap pemilik kenderaan mestilah melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan masing-masing setiap tiga tahun selepas dibeli manakala kenderaan yang berusia lebih 10 tahun perlu menjalani serta lulus pemeriksaan keselamatan yang ketat pada setiap tahun sebelum dibenarkan berada di jalan raya (Razis, 2022). Oleh itu, pelaksanaan perundangan dan polisi pemilikan kenderaan yang ketat yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan ini menyebabkan sebahagian besar pemilik kereta di negara maju tersebut akan memilih untuk melupuskan kenderaan mereka selepas 10 tahun dan hal ini sudah tentu boleh menjejaskan serta mengurangkan hasil jualan kenderaan keluaran Proton di negara-negara berkenaan.

Peluang strategik industri automotif Proton

1.      Teknologi hijau dan kenderaan elektrik (EV)

Proton berpeluang untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat lain dalam bidang teknologi kereta elektrik (EV) dan pembangunan produk bersama untuk memanfaatkan kekuatan dan sumber daya sedia ada. Kemasukan syarikat automotif seperti Tesla ke pasaran Malaysia telah membawa persaingan yang positif dalam perkembangan EV serta dilihat mampu merancakkan pertumbuhan jualan kenderaan segmen berkenaan (Zaky, 2023). Oleh itu, Proton boleh memanfaatkan sepenuhnya kerjasama dengan Zheijang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) iaitu sebuah konglomerat multinasional dari negara China untuk mendapatkan akses kepada teknologi kenderaan EV agar Proton tidak ketinggalan dalam perkembangan segmen tersebut. Kerjasama ini amat penting agar usaha untuk melancaran model EV pertama keluaran Proton melalui anak syarikatnya iaitu Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) dapat dilancarkan untuk memenuhi permintaan pasaran serta mampu menangani persaingan yang semakin sengit. Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Malaysia juga berpotensi tinggi untuk menjadi hab bagi pasaran kenderaan elektrik (EV) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai AS$778 bilion bersamaan RM3.52 trilion melalui pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif Malaysia (AHTV) hasil kerjasama bersama DRB-Hicom dan Geely (Kartika, 2023). AHTV bersedia untuk berperanan sebagai hab untuk membangunkan teknologi baharu yang akan digunakan dalam kenderaan generasi akan datang (NxGV), EV termasuk kenderaan cekap tenaga (EEV) yang dijangka dapat meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM64.5 bilion pada tahun 2022 kepada RM104.2 bilion menjelang tahun 2030.

2.      Pembangunan rantaian bekalan

Proton boleh meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dengan melakukan kerjasama yang kukuh dengan pembekal utama agar dapat menyepadukan sistem pengurusan rantaian bekalan yang cekap untuk meningkatkan ketepatan penghantaran dan mengurangkan kos pengeluaran. Sebagai contoh, kerjasama antara Proton dan Geely serta syarikat pembuatan komponennya telah meningkatkan integrasi rantaian bekalan agar terus diperkasakan. Kerjasama ini telah berjaya mengetengahkan teknologi baharu dalam kenderaan keluaran Proton yang terkini seperti sistem sambungan pintar, sistem pengaktifan suara dengan sistem kenderaan, tangki bahan api polimer dan kemasan dalaman mewah (Zaky, 2023). Selain itu, kerjasama antara Proton dan Aapico Hitech Public Company Limited iaitu syarikat alat ganti kenderaan terbesar dari Thailand dalam pengeluaran komponen dan alat ganti kenderaan dapat membantu mengoptimumkan kos serta meningkatkan kecekapan dan kualiti yang lebih baik dalam pengeluaran kereta nasional (Kartika, 2023). Kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat tersebut telah membawa kepada penggunaan teknologi baru seperti hot press forming untuk meningkatkan jaminan keselamatan dalam pengeluaran kenderaan melalui pelaburan awal sebanyak RM40 juta bagi kemudahan AVEE Global seluas 20 ekar di Tanjong Malim diikuti oleh pelaburan potensi bernilai RM100 juta bagi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu dalam perancangan tahun 2024.

3.      Pembangunan pendidikan dan latihan

Proton yang ditauliahkan sebagai pusat latihan sehenti bagi Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) boleh meningkatkan pelaburan dalam bidang pendidikan dan latihan. Hal ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan dalam industri automotif malah dapat mencipta lebih banyak peluang ekonomi yang berkekalan. Proton boleh meningkatkan lagi kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan seperti universiti, politeknik atau institusi teknikal lain untuk menyediakan program latihan vokasional yang disesuaikan dengan keperluan industri automotif malah Proton juga boleh merekrut mereka setelah tamat menjalani latihan.. Sebagai contoh, pembekalkan bahan latihan seperti enjin dan kereta oleh Proton kepada Institusi Pendidikan MARA seperti KKTM dan IKM yang menawarkan program dalam bidang automotif membolehkan pelajar didedahkan tentang teknologi terkini automotif negara (TVET MARA, t.t). Bukan itu sahaja, kerjasama ini juga dapat menyumbang dalam peningkatan kemahiran tenaga pengajar dalam teknologi terkini, pembangunan modul dan kurikulum.

Selain daripada memperkukuhkan kerjasama dalam program berkaitan dengan pendidikan atau latihan di institusi pendidikan tempatan, Proton boleh menubuhkan pusat latihan teknikal yang tersendiri untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran pada masa hadapan. Pusat latihan ini mestilah mengkhusus kepada kemahiran dalam bidang servis dan pembangunan enjin, penyelenggaraan, pembaikan dan teknologi kenderaan melalui latihan ToT (Training of Trainers) agar selari dengan permintaan industri kini. Program dan latihan pembangunan ini adalah termasuk untuk pekerja sedia ada untuk meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengurusan, pemasaran atau bidang lain yang penting untuk pertumbuhan syarikat. Sebagai usaha untuk menarik lebih ramai bakat muda melibatkan diri dalam sektor industri automotif, Proton boleh menawarkan biasiswa atau bantuan kewangan kepada pelatih di institusi berkenaan. Program pembangunan mentor dan pemimpin juga perlulah diwujudkan untuk membantu pekerja mengembangkan bakat kepimpinan mereka agar kesinambungan kepimpinan yang kukuh dalam organisasi dapat diteruskan.

RUMUSAN

Secara keseluruhannya, laporan ini membincangkan berkaitan dengan perkembangan industri automotif yang berlaku di Malaysia khususnya bagi Proton. Kewujudan Proton di Malaysia menunjukkan negara kita juga mampu mengeluarkan kenderaan dengan menggunakan kepakaran tenaga kerja dan kecanggihan teknologi sendiri. Perkara ini menunjukkan bahawa negara kita juga mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain walaupun kita merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Kehadiran kilang Proton di Tanjong Malim, Perak sedikit sebanyak telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan di daerah itu. Antara pembangunan yang dapat dilihat selepas adanya kilang Proton di Tanjong Malim adalah pembukaan kawasan perumahan Proton City, Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Sekolah Kebangsaan Proton City dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, dengan adanya kilang Proton di Tanjong Malim, ia dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk yang menetap di situ. Kehadiran kilang Proton di Tanjong Malim telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Sudah terang lagi bersuluh, kewujudan Proton di Malaysia telah memberi banyak impak positif kepada negara dan juga masyarakat. Proton ini merupakan salah satu aset negara yang patut dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.


Kumpulan 1 kursus HGM3093 Geografi Pengangkutan dan Perhubungan melawat kilang proton

RUJUKAN

Agensi. (2023, Oktober 6). Kos miliki kereta keluarga di Singapura boleh cecah setengah

juta. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/global/asia/2023/10/1017025/kos-      miliki-kereta-keluarga-di-singapura-boleh-cecah-setengah-juta

 

BERNAMA. (2014, Mei 1). Dasar negara antara punca kemerosotan jualan Proton. Utusan Malaysia. https://www.idfr.gov.my/images/stories/press/Dasar%20negara%20antara%20punca% 20kemerosotan%20jualan%20Proton1.pdf

 

BERNAMA. (2018, 24 Disember). Industri automotif Kembali Rancak di Bawah Kerajaan Baharu.                                            Berita                               Harian                               Metro. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2018/12/5 12341/industri-automotif-kembali-rancak-di-bawah-kerajaan-baharu

 

BERNAMA. (2021, 27 April). Insentif Industri Automotif Bantu Syarikat Tempatan Berkembang.                                                                                                                              MIDA.

https://www.mida.gov.my/ms/berita-mida/insentif-industri-automotif-bantu-syarikat-t empatan-berkembang/

 

BERNAMA. (2022, November 9). Proton rancang hasilkan EV sendiri menjelang 2027. Harian Metro.                           https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/11/901697/proton-rancang- hasilkan-ev-sendiri-menjelang-2027

 

Bisnes BH. (2019, Disember 13). Proton mula pengeluaran X70 di Tanjung Malim. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2019/12/638402/proton-mula-pen geluaran-x70-di-tanjung-malim

 

Harith dan Syamsiah. (2024, Mei 31). AHTV Bakal Ubah Tanjong Malim Jadi Hab Automotif Global. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2303157

 

Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Majlis Amanah Rakyat (TVET MARA). (t.t). Proton. https://www.tvetmara.edu.my/index.php/proton

 

Jabatan Perdana Menteri. (2005, Oktober 19). Rangka Dasar Automotif Nasional. https://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/26RANGKA_DASAR_AUTOMO TIF_NASIONAL.pdf.

 

Kamarul Azmi Jasmi. (2012). Metodologi Pengumpulan Data Dalam Penyelidikan Kualitatif. https://www.researchgate.net/profile/Kamarul-Azmi-Jasmi/publication/293097563_M etodologi_Pengumpulan_Data_dalam_Penyelidikan_Kualitatitif/links/5c0234e0a6fdc c1b8d4d2e10/Metodologi-Pengumpulan-Data-dalam-Penyelidikan-Kualitatitif.pdf.

Kartika Amri. (2023, Julai 17). Malaysia berpotensi jadi hab EV melalui AHTV. Harian    Metro. https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/07/988783/malaysia-berpotensi-jadi-

hab-ev-melalui-ahtv

 

Kartika Amri. (2023, Julai 3). Proton, Aapico kerjasama keluar komponen, alat ganti. Harian Metro.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/07/983873/proton-aapico-kerjasama- keluar-komponen-alat-ganti

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia. (2006, Mac 22). Dasar Automotif Nasional. https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/816.

 

Lauk Tambah. (2023, Februari 13). Pemilik Kereta dan Nombor Plat Pertama di Tanah Melayu. https://lauktambah.com/2023/02/13/pemilik-kereta-dan-nombor-plat-pertama-di-tana h-melayu/.

 

Malaysian Investment Development Authority (MIDA). (t.t). Automotif. https://www.mida.gov.my/ms/industri/perkilangan/teknologi-pengangkutan/automotif

 

Nur Aimi Dalila Rosli. (2015, Jun 17). Metodologi Kajian Nur Aimi Dalila Rosli. https://crazylinguists.wordpress.com/category/nor-aimi-dalila/bab-3-metodologi-aimi/

 

Pekhabar.      (2005,      Februari      26).      Perasmian      Kilang      Proton      Tanjung      Malim. https://pekhabar.com/h-i-d-s-perasmian-kilang-proton-tanjung-malim/

 

Proton     Car     Virtual     Showroom.     (2011,     Mei     4).     Sejarah     Penubuhan     PROTON. https://protoncar.wordpress.com/2011/05/04/sejarah-penubuhan-proton/.

 

Razis Ismail. (2022, Jun 26). 7 juta kereta usang tersadai. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2022/06/855622/7-juta-kereta-usang-tersadai

 

Reuters. (2020, Januari 29). Proton sasar bersaing di pasaran serantau. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2020/01/650838/proton-sasar-bersaing-di- pasaran-serantau

 

Rosman Shamsudin. (2017, Jun 16). Kilang Proton Tanjung Malim Jadi Kilang Induk. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/5/2017/06/293685/kilang-prot on-tan

 

Zaky Zainuddin. (2022, Mei 25). Kekurangan cip berterusan, pembeli kereta perlu tunggu

lebih                                  lama.                                  Berita                                 Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2022/05/959175/kekurangan-cip-berterusan

- pembeli-kereta-perlu-tunggu-lebih-lama

 

Zaky Zainuddin. (2023, Oktober 2). Geely beri Proton akses teknologi terkini. Berita Harian. https://api.bharian.com.my/bisnes/auto/2023/10/1159756/geely-beri-proton-akses- teknologi-terkini

Zaky Zainuddin. (2023, Oktober 2). Proton bina strategi jadi syarikat automotif terbaik ASEAN. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2023/10/1159770/proton-bina-strategi-jadi- syarikat-automotif-terbaik-asean


LAMPIRAN




















Comments