PELANTIKAN KETUA BADAN EKSEKUTIF PERINGKAT PERSEKUTUAN
Bangunan Perdana Putra merupakan kompleks
bangunan Pejabat Perdana Menteri Malaysia yang terletak di Putrajaya, Malaysia.
Negara Malaysia
merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan secara Demokrasi
Berparlimen dan Doktrin Pengasingan Kuasa antara Badan Eksekutif, Badan
Legislatif dan Badan Judisiari. Kuasa Eksekutif mempunyai 2 peringkat iaitu
peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Ketua Badan Eksekutif bagi
peringkat Persekutuan ialah Perdana Menteri manakala bagi peringkat Negeri pula
ialah Menteri Besar bagi negeri yang mempunyai Sultan, Ketua Menteri bagi
negeri yang tidak mempunyai Sultan atau Premier bagi negeri Sarawak sahaja.
Perdana Menteri merupakan ketua Jemaah Menteri atau Kabinet Menteri Malaysia.
Jawatan Perdana Menteri mula diwujudkan setelah Persekutuan Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Seperti yang sedia maklum, Perdana
Menteri merupakan ketua cabang bagi bidang kuasa eksekutif pemerintahan negara
Malaysia. Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, sistem pemerintahan yang
diamalkan di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu adalah sistem pemerintahan
monarki mutlak dan tiada jawatan Perdana Menteri diwujudkan ketika itu. Namun
terdapat beberapa ahli sejarah berpendapat bahawa jawatan Perdana Menteri itu
disamakan dengan jawatan Bendahara iaitu jawatan kedua terpenting selepas Raja
yang berperanan sebagai ketua bagi semua jawatan pembesar dan ketua kerajaan.
Konsep pengasingan kuasa antara Badan Eksekutif, Badan Legislatif dan Badan
Judisiari ini mula diperkenalkan oleh penjajah British dan telah diamalkan oleh
negara Malaysia sehingga ke hari ini.
Ciri-ciri pelantikan bagi
jawatan Perdana Menteri adalah beliau mestilah merupakan seorang ahli Dewan
Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. Pelantikan Perdana
Menteri mestilah melalui proses-proses seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, antara perkara yang menyebut mengenai
pelantikan Perdana Menteri dapat dilihat melalui Perkara 39, Perkara 40(2)(a)
dan juga Perkara 43(2)(a). Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan
bahawa:
“Ketua Eksekutif
Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk
kepada peruntukan mana-mana undang-undang dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah
dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang
diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang,
memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”
Selaras dengan itu,
menurut Perkara 40(2)(a) pula menyatakan bahawa:
“(2) Yang di-Pertuan
Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang
berikut:
(a)
Melantik seorang Perdana Menteri”
Sejajar dengan itu,
menurut Perkara 43(2)(a) menyatakan bahawa:
“(2) Jemaah Mentrei
hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu-
(a)
Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana
Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang
pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”
Keputusan Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU15)
Setelah berakhirnya
Pilihan Raya Umum (PRU), ketua parti politik atau ketua gabungan parti politik
yang memenangi majoriti mudah iaitu 112 kerusi Parlimen perlulah menghantar
surat Akuan Berkanun dan memilih atau mencalonkan seorang wakil daripada ahli
Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan kepada pihak Istana
Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baharu.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh mengadakan Perbincangan Khas
Raja-Raja Melayu bagi mendapatkan titah pandangan Raja-Raja Melayu bagi memilih
Perdana Menteri. Sebagai contoh, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Ahli Parlimen
Tambun iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
Perdana Menteri yang ke-10 selepas mempertimbangkan titah pandangan Raja-Raja
Melayu ketika Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dilaksanakan. Istiadat
Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta
Sumpah Simpan Rahsia oleh Perdana Menteri akan dilangsungkan di Balai
Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Setiap pelantikan
Perdana Menteri mempunyai prosedur dan proses yang sama. Namun begitu,
perjalanan melantik Perdana Menteri itu mungkin agak berbeza-beza. Sebagai
contoh, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah
menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal tahun 1999 dan telah
berkhidmat selama 4 tahun sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri Menteri
sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan mantan Perdana
Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah membuat keputusan untuk
bersara dan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003.
Pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi ini bukanlah pelantikan yang asing kerana
pelantikan ini dianggap sebagai peralihan kuasa yang pernah berlaku kepada
mantan-mantan Perdana Menteri sebelum ini.
Mantan Perdana Menteri
Malaysia ke-8, Tan Sri Mahiaddin Yassin
Contoh yang kedua
dapat dilihat melalui cara pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri
Mahiaddin Yassin yang telah menggantikan mantan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr
Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24
Februari 2020 di samping mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) iaitu antara parti komponen dalam gabungan
Pakatan Harapan bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan
Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) setelah berjaya memenangi
majoriti muda menumbangkan penguasaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 yang lalu. Tan Sri Mahiaddin Yassin yang merupakan Presiden BERSATU
telah bertindak mengumumkan keputusan bahawa parti yang diwakilinya itu telah
keluar daripada kerjasama gabungan tersebut. Pada 28 Februari 2020, Parti
BERSATU bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) iaitu
kerjasama antara parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti
Islam Se-Malaysia (PAS) bersetuju mencalonkan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai
Perdana Menteri ke-8 manakala gabungan PH mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri. Rentetan ini berlaku kerana tiada
pemimpin yang berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen setelah kesemua
221 Ahli Parlimen selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, setelah dititahkan oleh baginda
untuk menzahirkan siapakah calon Perdana Menteri pilihan mereka dalam sesi
temubual secara peribadi. Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin
Hassan, beliau mengesahkan bahawa seramai 114 orang Ahli Parlimen telah
menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin sekali gus membolehkan beliau diberikan
perkenan oleh YDPA sebagai Perdana Menteri yang baharu. Maka, pada 1 Mac 2020,
Tan Sri Mahiaddin Yassin sah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 setelah
selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan YDPA dan kerajaan pimpinan beliau
dikenali sebagai Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Istiadat
Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri
oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar
bin Ibrahim di Istana Negara
Selain itu, contoh lain yang dapat dilihat adalah semasa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. Setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun lalu, buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara kita, berlakunya situasi Parlimen tergantung atau dikenali sebagai “Hung Parliament” iaitu situasi di mana ketiadaan parti politik atau pakatan parti politik yang berjaya memperoleh jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak dalam Parlimen. Hal ini merujuk kepada keputusan PRU15 yang lalu di mana tiada mana-mana pakatan parti politik yang berjaya memenangi majoriti mudah iaitu sebanyak 112 kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan. Oleh itu, pihak Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa YDPA telah menitahkan setiap ketua parti poltik dan ketua gabungan parti politik yang memperoleh kerusi yang banyak melalui kerjasama Speaker Dewan Rakyat untuk memaklumkan gabungan parti yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan dan mencadangkan nama Perdana Menteri. Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden BERSATU merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin telah dipanggil mengadap YDPA dan dititahkan untuk bekerjasama membentuk kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan setelah kedua-duanya gagal memperoleh sokongan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Namun begitu, Tan Sri Mahiaddin Yassin telah menolak titah YDPA kerana dikatakan bertentangan dengan prinsip PN yang tidak ingin bekerjasama dengan PH. Pada awalnya, Tan Sri Mahiaddin Yassin dikatakan mempunyai sokongan majoriti seramai 115 orang Ahli Parlimen termasuklah sokongan daripada 10 orang Ahli Parlimen BN tetapi sokongan tersebut telah ditarik balik kerana didapati melanggar perjanjian parti untuk memberikan mandat secara mutlak kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN untuk merundingi soal pembentukan kerajaan. Pada 24 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan YDPA apabila Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja melalui kenyataan Istana Negara mengumumkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 setelah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut bersetuju menyokong beliau sebagai Perdana Menteri dan membentuk Kerajaan Perpaduan. Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 pada 19 Disember 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya memperoleh sokongan majoriti 2/3 Ahli Dewan Rakyat iaitu seramai 148 orang ahli Dewan Rakyat dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Link e-Pena UPSI : https://www.epena.com.my/index.php/2023/04/06/pelantikan-ketua-badan-eksekutif-peringkat-persekutuan/





Comments
Post a Comment