TAHUKAH ANDA UMNO PERNAH DIHARAMKAN PADA SUATU KETIKA DAHULU?
Krisis ini bermula semasa pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987. Hubungan yang keruh antara Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan Tun Musa Hitam telah berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa Tun Hussein
Onn dilantik sebagai Perdana Menteri ke-3, timbul persoalan siapakah yang akan dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Namun, pada akhirnya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun ketika itu beliau hanyalah merupakan Naib
Presiden UMNO yang ketiga sedangkan ketika itu, Naib Presiden UMNO yang paling
kanan (senior) ialah Tun Abdul Ghafar Baba kemudian Tengku Razaleigh Hamzah.
Terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa Tun Hussein Onn sebenarnya mahu melantik Tan Sri Ghazali
Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun telah didorong oleh Tengku
Razaleigh Hamzah untuk melantik Tun Dr Mahathir sebagai TPM dengan harapan
apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, maka Tengku Razaleigh akan dilantik sebagai Timbalannya (TPM).
Namun, apa yang berlaku adalah disebaliknya di mana semasa Tun
Dr Mahathir menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4, beliau tidak melantik Tengku Razaleigh secara terus
tetapi membuka gelanggang pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden
UMNO yang juga akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1981. Keputusan pertandingan tersebut menyaksikan Tun Musa Hitam telah memenangi pertandingan dan dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri mengakibatkan Tengku Razaleigh Hamzah tidak berpuas hati
memandangkan Tun Musa Hitam hanyalah merupakan Naib Presiden Ketiga.
Pada tahun 1986,
Tun Musa Hitam telah meletakkan jawatan sebagai TPM namun kekal sebagai
Timbalan Presiden UMNO kerana wujud krisis antara Tun Musa Hitam dan
Tun Dr Mahathir apabila Tun Musa Hitam tidak lagi mendapat kepercayaan daripada
Tun Dr Mahathir sebagai timbalannya. Krisis ini berterusan sehinggalah pemilihan UMNO tahun 1987.
Hubungan yang keruh antara Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir menyebabkan Tun
Musa Hitam berpakat dengan Tengku Razaleigh untuk menentang Tun Dr Mahathir.
Terdapat dua pasukan
dalam UMNO iaitu Pasukan A diketuai oleh Tun Dr. Mahathir. Tun
Ghafar Baba diminta untuk bertanding melawan Tun Musa Hitam daripada Pasukan B yang diketuai
oleh Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan yang penting setelah menjadi jurukempen dalam memenangkan Tun Dr Mahathir dan Tun Ghafar Baba. Tambahan pula, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO dan menyebelahi Pasukan B bagi pihak Tengku Razaleigh telah membuat pusingan ‘U’ dan menyokong pasukan A pimpinan Tun Dr Mahathir pada saat-saat akhir.
Tun Dr Mahathir berjaya mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan beza 43 undi manakala Tun Ghafar
Baba pula berjaya mengalahkan Tun Musa Hitam dengan beza 41 undi . Hanya Tun
Abdullah Hj Ahmad Badawi merupakan satu-satunya wakil daripada pasukan B yang menang dan berjaya menempatkan diri
sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO. Namun, Tun Dr Mahathir tidak mengiktiraf
beliau dan beliau tidak dilantik sebagai Menteri Kabinet selama satu penggal. Tun
Ghafar Baba diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baru.
Setelah pemilihan UMNO
selesai, terdapat sekumpulan ahli UMNO yang terdiri daripada 11 orang yang memihak kepada Tengku Razaleigh telah membawa kes perwakilan tidak sah telah terlibat dalam pemilihan tersebut dengan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan pemilihan parti.
Perwakilan yang tidak sah ini disebabkan terdapat cawangan yang tidak berdaftar atau lebih dikenali sebagai cawangan hantu tetapi mengundi pada pemilihan tersebut. Kesannya, undi yang diperoleh adalah tidak
sah dan keseluruhan UMNO telah diharamkan.
Pada 4 Februari 1988, UMNO telah diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebabkan Tun Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri yang tidak berparti. Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) manakala Tun Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru. Parti S46 pimpinan Tengku Razaleigh telah bergabung dengan parti-parti pembangkang seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Gabungan parti ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). APU juga bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Barisan Progresif India (IPF), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Solidariti Malaysia (MSP) dan Kongres India Muslim (KIMMA) dan gabungan ini dikenali sebagai Gagasan Rakyat. Strategi ini membolehkan APU menawan negeri Kelantan daripada kekuasaan Barisan Nasional (BN) manakala UMNO Baru kekal menerajui Kerajaan Persekutuan.
Penulis : Mohammad Faiez Iqmal bin Semi, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris


Comments
Post a Comment