KELEBIHAN TINGKATAN ENAM (STPM)

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada para pembaca yang dikasihi sekalian. Pada hari ini, saya ingin berkongsikan dengan anda semua mengenai apakah kelebihan-kelebihan belajar di Tingkatan 6 (STPM) yang ramai tidak tahu. Sebelum melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, saya merupakan seorang pelajar MRSM. Keputusan SPM 2018 terutama dalam subjek-subjek aliran sains tulen agak kurang memuaskan di mana gred keputusan subjek Matematik Tambahan dan Fizik adalah C+, Biologi mendapat gred C dan Kimia mendapat gred D. Memandangkan minat saya untuk menyambung pelajaran ke bidang perguruan, maka Institut Pendidikan Guru (IPG) merupakan pilihan utama saya. Malangnya, saya tidak layak untuk memohon kerana gagal mencapai syarat minimum yang ditetapkan iaitu pemohon mestilah sekurang-kurangnya memperoleh keputusan 5A dalam SPM sedangkan keputusan SPM saya hanyalah 3A+ dan 1A sahaja. Sebagai langkah kedua, saya memohon untuk menyambung pelajaran ke Kolej Profesional MARA (KPM) dalam program Diploma In English Communication (DEC). Alhamdulillah, pada awalnya saya berjaya dipanggil untuk ujian bertulis dan temuduga di KPM Indera Mahkota, Pahang. Jauh perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Indera Mahkota, Pahang, tiada rezeki untuk saya menyambung pelajaran ke sana kerana gagal dalam sesi temuduga dan keputusan ujian bertulis saya juga rendah. Dalam pada masa yang sama, saya telah mendapat tawaran dari Kolej Matrikulasi Kedah dalam Program Dua Tahun (PDT) dan Diploma Sains dari UiTM Arau, Perlis. Namun, pada akhirnya saya telah membuat keputusan untuk menolak kesemua tawaran tersebut memandangkan saya merasakan bahawa saya tidak boleh melanjutkan pelajaran saya dalam bidang atau aliran sains ini lalu membuat keputusan untuk ke Tingkatan 6 secara rayuan.

Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, Kelantan merupakan satu-satunya Pusat Tingkatan 6 (PTE) di PPD Jeli.

Kelas 6 UUM/UMA STPM 2020. Masani sambut birthday Cikgu Nargis Yasin, Guru Sejarah kelas kami. Cikgu Nargis merupakan seorang cikgu yang sangat penyanyang, baik hati dan prihatin kepada kami. Dalam tegas ada sayangnya.

Penulis blog ini (diri sendiri). Gambar selepas tamat majlis pembubaran dan penyerahan tugas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 19/20 kepada barisan kepimpinan yang baru.

Pada awalnya, saya agak takut untuk belajar di Tingkatan 6 sebab ramai yang kata bahawa tingkatan 6 ini susah. Memandangkan saya sudah tiada pilihan lagi oleh sebab tidak mahu lagi sambung ke bidang/aliran sains, maka saya tiada pilihan lain selain daripada menyambung pelajaran ke Tingkatan 6. Oleh sebab saya berjaya mendapat tawaran daripada kolej Matrikulasi, secara automatiknya saya tidak mendapat tawaran ke Tingkatan 6. Oleh itu, saya mestilah membuat rayuan ke Tingkatan 6 dengan memuat turun borang rayuan di laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mengisi segala maklumat dan berjumpa sendiri dengan Guru Penolong Kanan Tingakatan 6 SMK Ayer Lanas iaitu Cikgu Rozali Muda. Alhamdulillah selang beberapa hari, saya mendapat panggilan daripada pihak PPD Jeli yang mengatakan bahawa permohonan rayuan saya diluluskan dan ditawarkan ke tingkatan 6 aliran Sains Sosial (Sastera) di SMK Ayer Lanas, Jeli, Kelantan.

Cikgu Rozali Muda, Mantan Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Ayer Lanas. Kini, menjawat jawatan sebagai Pengetua di SMK Sri Wangi, Gua Musang Kelantan. Beliau merupakan PK Tingkatan 6 yang paling lama berkhidmat. Seorang yang penyanyang, baik hati , mesra dan prihatin terhadap anak-anak pelajar Tingkatan 6 SMK Ayer Lanas. Terima kasih Cikgu Rozali, jasamu akan sentiasa kami kenang. 

Keputusan Rayuan ke Tingkatan 6.

Kelebihan-kelebihan belajar di Tingkatan 6 adalah:

  • Minimum subjek yang boleh diambil adalah 4 subjek dan maksimum adalah 5 subjek. Subjek Pengajian Am merupakan subjek wajib diambil oleh pelajar Tingkatan 6. Bagi pelajar yang ambil 5 subjek, hanya 4 subjek terbaik termasuk Pengajian Am akan diambil kira dalam pengiraan pointer (PNGS dan PNGK). Ini merupakan satu kelebihan kepada pelajar yang mengambil 5 subjek berbanding pelajar yang mengambil 4 subjek kerana sekiranya mereka mendapat gred yang rendah atau gagal dalam mana-mana subjek, maka banyaklah pointer akan jatuh.
  • Boleh mengulang peperiksaan semester 1 dan 2 dengan bayaran RM50 untuk satu subjek manakala semester 3 tidak boleh mengulang. Gred yang lebih tinggi akan diambil kira dalam kiraan pointer sama ada gred asal atau gred ulangan. Sekiranya, gred asal adalah lebih tinggi berbanding gred ulangan, maka gred asal yang akan diambil kira. Contohnya, subjek Ekonomi semester 1 dapat B+ manakala Ekonomi Ulangan semester 1 dapat C. Maka, gred asal semester 1 iaitu B+ yang akan diambil kira. Situasi kedua adalah sekiranya gred mengulang adalah lebih tinggi berbanding gred asal, maka gred ulangan tersebut yang akan diambil kira. Contohnya, subjek Bahasa Melayu semester 1 dapat B manakala Bahasa Melayu Ulangan semester 1 dapat A, maka gred ulangan semester 1 iaitu A yang akan diambil kira.
  • Terdapat bantuan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) untuk pelajar yang pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka adalah bawah RM1500 sebulan.
  • Terdapat guru MUET yang akan mengajar subjek MUET. Kelas ini  akan diadakan setiap minggu dan belajar sama seperti kelas subjek-subjek yang lain. Guru MUET akan membantu dan mengajar pelajar bagaimana untuk menjawab dan skor subjek MUET dengan sebaik mungkin. Untuk pengetahuan anda semua, MUET ialah singkatan daripada Malaysian University English Test. MUET merupakan syarat wajib yang mesti diambil oleh pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree). Kebanyakan universiti meletakkan syarat MUET mestilah minimum mencapai Band 2 bagi melayakkan diri menyambung pelajaran ke universiti tersebut. Band 3 merupakan syarat untuk bergraduasi bagi pelajar aliran/bidang sastera manakala bagi pelajar aliran/bidang sains mestilah mencapai Band 4 ke atas. (Sila rujuk syarat-syarat bergraduasi universiti masing-masing) kerana setiap universiti meletakkan syarat yang berbeza bergantung kepada program pengajian. 
  • Terdapat kerja kursus (KK) di semester 2 dan 3. Kerja kursus ini banyak menyumbang kepada pengiraan pointer kerana wajarannya adalah agak besar. Wajaran kerja kursus setiap subjek adalah berbeza-beza. Contohnya, wajaran kerja kursus bagi subjek Pengajian Am adalah sebanyak 20% . Bayangkan kerja kursus ini akan menyumbang 20% dalam pengiraan pointer. Majoriti pelajar akan mendapat A dalam KK ini kerana guru-guru Tingkatan 6 akan sedaya upaya membantu dan membimbing pelajar mereka dalam tugasan KK ini. Pelajar yang tidak mendapat A adalah disebabkan oleh sikap pelajar itu sendiri yang malas dan tidak menghantar tugasan yang lengkap. (Wajaran boleh dirujuk di laman web https://www.infoupu.com/cara-kira-pointer-stpm-ngmp-pngk/)
  • Pelajar cemerlang yang berjaya mendapat pointer PNGK 4,00 (4 Flat) dalam STPM berpeluang untuk menerima Anugerah Khas Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kriteria-kriteria untuk menerima Anugerah Khas MPM ini antaranya adalah pelajar hendaklah tidak pernah mengambil peperiksaan ulangan dalam mana-mana subjek. Pelajar yang mengambil 5 subjek dan berjay amendapat gred A dalam kesemua subjek dalam peperiksaan Semester 1, 2 dan 3 tanpa ulangan adalah satu kelebihan. InsyaAllah, pelajar tersebut berpeluang besar untuk naik pentas di Putrajaya !
Saya merupakan pelajar Tingkatan 6 di SMK Ayer Lanas, Jeli, Kelantan (Batch STPM 19/20) tetapi berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021 memandangkan negara menghadapi pandemik Covid-19. Saya mengambil 5 subjek iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi dan Geografi. Alhamdulillah, rezeki saya Allah telah aturkan di Tingkatan 6 walaupun terpaksa menolak tawaran daripada Kolej Matrikulasi dan UiTM. Malahan, gagal untuk mendapat tawaran ke IPG dan Kolej Profesional MARA. Saya berjaya mendapat keputusan PNGK 4.00 (4 Flat) dalam STPM 2020. MUET berjaya mencapai Band 3. Kini, alhamdulillah saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

Keputusan STPM 2020 diumumkan pada 1 Julai 2021

Doakan saya agar berjaya menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa pada suatu hari nanti. Terima kasih kepada para pembaca. Kepada adik-adik yang bakal atau sedang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, saya mengucapkan "Good luck" dan selamat maju jaya!

Sekiranya, saudara/saudari mempunyai apa-apa persoalan atau pertanyaan, boleh emailkan kepada saya di alamat email tersebut : mfaiezsemi@gmail.com


LAMPIRAN 

Siti Aishah Mz Rozalan, pelajar cemerlang STPM 2019 dari SMK Ayer Lanas mendapat keputusan PNGK 4.00 dan menerima anugerah khas MPM di Putrajaya. Tahniah!

Terima kasih Dato' Sri Mustapa Mohamed (Ahli Parlimen Jeli & ADUN Ayer Lanas) yang sentiasa cakna dengan kejayaan anak-anak pelajar di Parlimen Jeli.

Alhamdulillah, dapat teruskan legasi pencapaian PNGK 4.00 STPM SMK Ayer Lanas.

Terima kasih Dato'Pa. Masani gembira sangat sangat bila dapat tahu Dato' nak datang ke rumah. My Idola ni 😘

Di sebalik kejayaan, sudah tentu ma dan abah merupakan dua insan yang banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana dapat gembirakan ma dan abah. Kenangan yang paling manis. 

Comments