AMALAN LOMPAT PARTI DI MALAYSIA


YB Dato Sri Dr. Hj Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

APA ITU LOMPAT PARTI?

Dalam bidang politik, lompat parti merujuk kepada perbuatan seorang ahli politik, lazimnya yang berjawatan, berpindah kesetiaan daripada satu parti politik ke parti politik yang lain. Kekerapan amalan lompat parti adalah berbeza mengikut negara. Di beberapa buah negara dengan tradisi demokrasi yang kurang maju, amalan lompat parti ini berlaku untuk memperoleh wang, jawatan atau kelebihan-kelebihan lain. Lompat parti berlaku lebih kerap apabila sesebuah parti mengubah hala tuju politik, membentuk gabungan baru atau berpecah menjadi parti-parti serpihan. Dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 11 April 2022, menurut Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat berkata seramai 39 orang Ahli Parlimen telah melompat parti sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sehingga mengakibatkan negara berhadapan dengan isu pergolakan parti dengan menyaksikan penyandang Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali. Menurut beliau, keadaan ini merupakan satu isyarat yang jelas menunjukkan amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.

BAGAIMANAKAH SESEORANG AHLI PARLIMEN ITU DIKIRA MELOMPAT PARTI?
Berdasarkan Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan tentang situasi atau keadaan bagaimanakah keahlian seorang ahli Dewan Rakyat gugur kerana dianggap melompat parti:
1) Beliau melepaskan keanggotaan parti politiknya
2) Beliau tidak lagi menjadi anggota parti politiknya
3) Seorang ahli Dewan Rakyat yang memenangi pilihan raya atas tiket BEBAS menyertai suatu parti politik yang lain

ADAKAH SESEORANG AHLI PARLIMEN MENDAPAT PENGECUALIAN PENGISTILAHAN MELOMPAT PARTI?
Berdasarkan Perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan tentang situasi bagaimanakah seorang ahli Dewan Rakyat itu dikecualikan sebagai melompat parti :
(1) Berlaku pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya
(2) Pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya setelah dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan
(3) Beliau dipecat keanggotaan dalam parti politiknya

APAKAH PUNCA-PUNCA SESEORANG AHLI PARLIMEN MELOMPAT PARTI?
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Yang Berhormat Fahmi Fadzil, dua perkara asas iaitu tekanan ekonomi dan tekanan daripada penguasa terhadap Ahli Parlimen merupakan antara punca berlakunya amalan masalah lompat parti. Tekanan ekonomi ini merujuk kepada situasi apabila seseorang wakil rakyat tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk menguruskan bantuan di kawasannya mengakitbatkan seseorang wakil rakyat tersebut akan menerima pelbagai tekanan. Hal ini demikian kerana peruntukan seseorang wakil rakyat adalah bergantung kepada dana belas ihsan YAB Perdana Menteri. Seterusnya, tekanan daripada penguasa terhadap Ahli Parlimen pula merujuk kepada bagaimana seseorang Ahli Parlimen itu diberi tekanan oleh penguasa melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya. Menurut beliau juga, tindakan lompat parti ini paling banyak berlaku di negeri Sabah dan Sarawak.

APAKAH KESAN-KESAN LOMPAT PARTI?
(POLITIK)
1. Ketidakstabilan negara
Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, negara kita mengalami 3 kali pertukaran kerajaan dan 3 orang Perdana Menteri. Setelah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, kerajaan Pakatan Harapan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentuk kerajaan setelah memenangi PRU dengan majoriti mudah iaitu sebanyak 113 kerusi. Namun, kerajaan Pakatan Harapan ini tumbang dan hanya memerintah negara selama 22 bulan sahaja kesan daripada perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan amalan lompat parti dalam kalangan ahli-ahli parlimen kerajaan. Setelah itu, terbentuknya sebuah kerajaan baru yang dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri Ke-8 hasil gabungan dan kerjasama 3 buah parti iaitu parti Barisan Nasional, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Namun, sekali lagi berlakunya pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri setelah Tan Sri Muhyidin Yasin tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan dalam kalangan ahli parlimen dan berlakunya amalan lompat parti dalam kalangan ahli parlimen. Pada hari ini, YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub merupakan Perdana Menteri ke-9 Malaysia yang baru dimana kerajaan yang sedia ada mempunyai majoriti yang agak tipis.
2. Berlakunya beberapa siri pilihan raya
Bermula dengan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah dan seterusnya di negeri-negeri seperti Melaka, Sarawak dan Johor akibat berlakunya ketidakstabilan dalam kerajaan negeri kesan daripada perpecahan gabungan parti politik dan amalan lompat-melompat dalam kalangan ahli dewan undangan negeri (ADUN). Malah, kita juga dapat lihat berlakunya pertukaran beberapa orang Menteri Besar yang baru di negeri-negeri seperti di negeri Kedah dan juga Perak akibat perpecahan gabungan parti politik dan tidak mendapat kepercayaan ADUN.
3. Membantutkan pelaksanaan dasar dan bantuan pihak kerajaan
Misalnya, isu pengeluaran khas KWSP yang mengambil masa yang begitu lama untuk diluluskan sehingga mencetuskan kemarahan dan keluhan dalam kalangan rakyat terutama kepada mereka yang terkesan akibat Pandemik covid-19.

(EKONOMI)
Pelaburan negara Malaysia jatuh merundum akibat pelabur tidak berminat untuk melabur di Malaysia kerana tidak yakin dengan kestabilan politik negara. Trend sedemikian akan menjejaskan pasaran saham dan memberikan kesan kepada banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan keputusan-keputusan pelaburan antarabangsa. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 March 2022, kedudukan ekonomi Malaysia agak membimbangkan kerana ketinggalan berbanding dengan negara-negara jiran yang lain di rantau ASEAN. Menurut Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, KDNK negara pada tahun 2021 berkembang paling corot jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain iaitu berkembang sebanyak 3.1 peratus berbanding Filipina 7.4 peratus, Kemboja 6.8 peratus, Vietnam 6.7 peratus dan Indonesia 6.1 peratus. Malahan dari segi pendapatan per kapita, negara Malaysia hanya berkembang sebanyak 0.3 peratus berbanding Vietnam 4.4 peratus dan Indonesia 4.0 peratus.

(SOSIAL)
Amalan lompat parti ini juga mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi negara kerana tindakan lompat parti ini menyebabkan rakyat menilai kesetiaan ahli Dewan Rakyat atau ADUN terhadap parti yang diwakili mereka. Malahan, parti yang diwakili oleh seseorang calon ahli Dewan Rakyat atau ADUN yang bertanding di pilihan raya merupakan antara salah satu aspek penting yang dinilai oleh rakyat untuk memilih siapakah wakil rakyat yang akan membawa suara mereka.

APAKAH LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH LOMPAT PARTI?
Bermula 28 Februari tahun ini, pihak kerajaan telah bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat. Keputusan ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan di Parlimen. Pihak kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dwi partisan bersama blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah dipersetujui dan ditandatangani pada 13 September 2021 mengenai keperluan membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen. Kerjasama ini bertujuan untuk memastikan kelancaran pindaan RUU Anti Lompat Parti ini dilaksanakan dan mendapat kelulusan majoriti mudah 2/3 di Parlimen.

Akta Anti Lompat Parti telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan bermula 5 Oktober 2022 setelah mendapatkan kelulusan majoriti 2/3 Dewan Rakyat dan kelulusan majoriti 2/3 Dewan Negara serta mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billahi-Pertuan Agong.
APAKAH CABARAN-CABARAN DALAM MELAKSANAKAN RUU ANTI LOMPAT PARTI?
1. Tempoh singkat
Jawatankuasa Pilihan Khas mengkaji Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diberikan tempoh sebulan untuk meneliti pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti. Tempoh ini dilihat singkat untuk memperhalusi banyak perkara termasuk perkara berbangkit khususnya tafsiran melompat parti. Hal ini demikian kerana pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ini terlalu luas dan menimbulkan kebimbangan ahli-ahli Parlimen. Malahan, Ahli Parlimen Pengerang, YB Azalina Othman Said berkata rancangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan boleh mengundang krisis perlembagaan kerana tanpa undang-undang anti lompat yang ditakrifkan dengan ketat akan menjadi terlalu luas dan berbahaya. Oleh itu, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan bertujuan untuk meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

2. Polemik Pindaan Perkara 10, 48
Menurut peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, penggubalan RUU Anti Lompat Parti dijangka akan berdepan masalah jika tidak melakukan pindaan ke atas Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal hilang kelayakan ahli Parlimen. Kegagalan meminda Perkara 48 boleh mencetuskan krisis perlembagaan dan isu perundangan selepas pembentangan RUU Anti Lompat Parti dan diluluskan kelak. Menurut beliau, satu klausa baru perlu ditambah dalam Perkara 48 (1) yang menyentuh faktor-faktor kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen dengan mengambil kira kesan RUU Anti Lompat Parti.

3. Penelitian khusus
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan cadangan bahawa definisi undang-undang itu perlu dikaji secara lebih terperinci apabila membabitkan perbuatan melompat parti itu terpaksa dilakukan dalam keadaan dan sekiranya tiada satu parti mendapat majorti mudah selepas keputusan pilihan raya umum.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan persoalan berkenaan definisi wakil rakyat melompat parti sekiranya mereka dipecat atau meninggalkan parti kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan parti.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mencadangkan mana-mana wakil rakyat yang didapati melompat parti tidak dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada ada di peringkat Parlimen dan DUN dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.

KESIMPULAN

Amalan lompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri telah membawa kepada ketidakstabilan politik negara serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara. Oleh itu, penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti ini akan terus menjamin kestabilan politik daripada kerakusan dan ketamakan kuasa oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab di negera kita.

Penulis : MOHAMMAD FAIEZ IQMAL BIN SEMI, MAHASISWA IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN, UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Comments