PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT : DATO’ SRI MUSTAPA BIN MOHAMED AHLI PARLIMEN JELI
Tokoh
merupakan individu yang sangat berharga di mata masyarakat dan individu yang
boleh dijadikan teladan kepada generasi pada masa kini dan pada masa yang akan
datang. Kejayaan yang dicapai dan sumbangan yang dicurahkan dapat dijadikan
sebagai inspirasi dan motivasi bagi menjadikan masyarakat terus berjaya. Pengorbanan
dan kepahitan mereka dalam membawa sumbangan kepada masyarakat tempatan telah
menjadikan beliau sebagai seorang yang dikenali dan disayangi ramai. Antara
tokoh yang banyak jasanya kepada masyarakat tempatan ialah Dato’ Sri Mustapa
Bin Mohamed. Beliau juga lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa dalam kalangan
masyarakat tempatan. Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed merupakan Ahli Parlimen Jeli
dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas. Beliau pertama kali dipilih
sebagai wakil rakyat setelah memenangi pilihan raya bagi Parlimen Jeli pada
tahun 1995. Wakil rakyat Jeli ini telah membawa pelbagai kejayaan dan kemajuan
di Jeli.
Tok
Pa meraikan kejayaan menang dalam PRU14 di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di
Dewan Utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli
Jeli adalah sebuah Jajahan baru di Kelantan, ia ditubuhkan pada 39 tahun yang lalu iaitu pada Julai 1982. Pada awalnya Jeli dikenali sebagai Jajahan Kecil Jeli yang mempunyai pentadbiran yang tersendiri dan pernah mendapat jolokan ‘bandar koboi latin’. Pada Januari 1986, jajahan ini telah dinaik taraf dan diisytiharkan sebagai sebuah jajahan penuh.
Dato’Sri
Mustapa Bin Mohamed dilahirkan pada 25 September 1950 di Bachok, Kelantan.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bachok pada tahun 1957 dan
Sekolah Menengah Sains Sultan Mohammad Jiwa pada tahun 1963. Selepas
menamatkan pengajian di Kolej Sultan Ismail Kota Bharu pada tahun 1969, beliau
melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne di Australia dan berjaya memperolehi
Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Kelas Pertama. Beliau kemudiannya melanjutkan
pengajian ke peringkat Sarjana Ekonomi pada tahun 1982 di Boston University,
Amerika Syarikat.
Menurut
temubual bersama Ustaz Mohd Nasir bin Mohd Nor, Setiausaha Politik kepada Dato’Sri
Mustapa Mohamed, beliau berasal dari
kampung yang miskin. Semasa remaja, beliau telah berhijrah dan merantau ke luar
negeri iaitu ke negeri Terengganu. Hasil perkongsian hidup bersama Datin Sri
Khamarzan Ahmed Meah , beliau telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Beliau
sering memanfaatkan masa lapang dengan membaca ataupun berjoging tidak kira
sama ada berada di dalam negara mahupun luar negara.
Kerjaya
pertama beliau adalah bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di
Kementerian Kewangan pada tahun (1974-1980). Beliau kemudian dilantik sebagai
Pensyarah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 1982 sebelum
dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pada
tahun 1984.. Sebelum menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2009, beliau pernah
menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada tahun (2006-2008).
Penglibatan
Y.B. Dato' Sri Mustapa Mohamed dalam UMNO bermula pada tahun 1988 ketika
memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tun Daim
Zainuddin. Beliau pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat setelah memenangi
kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1995. Berikutan
kejayaan tersebut, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada
bulan Mei 1995 sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua pada bulan
September 1998. Beliau yang sudah 5 kali bertanding di Jeli sehingga 2013,
hanya pernah kalah sekali pada tahun 1999 kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad
dengan kelebihan 693 undi.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed juga merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas .Beliau telah dipilih sebagai ADUN Ayer Lanas buat pertama kali setelah memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dengan menewaskan pencabar terdekatnya, Abdullah Ya'kub (PAS). Beliau sekali lagi berjaya dipilih sebagai ADUN Ayer Lanas dari tahun 2013 hingga kini.
Dato' Sri Mustapa Mohamed yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jeli. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO pada tahun 2000 sebelum diberikan tugas sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dari tahun 2000 hingga 2004. Pada tahun 2018, Dato’sri Mustapa Mohamed telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad setelah lebih 40 tahun berkhidmat dalam UMNO. Beliau memilih wadah perjuangan politik baru ini kerana percaya ia akan memberikannya peluang memainkan peranan lebih berkesan untuk membela kepentingan rakyatnya di Jeli dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya di dalam dan di luar Parlimen.
Kini,
Dato’Sri Mustapa Mohamed merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Pada
9 Mac 2020, beliau telah dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi) yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan
Perdana Menteri Malaysia ke-8 iaitu Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin
Yassin . Kehadiran beliau dijangka memberi anjakan yang diperlukan terutamanya
dalam menarik pelabur asing ke Malaysia. Beliau dikenali sebagai
seorang yang tegas dan terkenal di persada antarabangsa terutamanya dalam
kalangan pelabur asing semasa memegang portfolio sebagai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri yang menyaksikan di bawah kepimpinannya pelaburan
asing di negara ini mencapai tahap sangat memberangsangkan. Pada 27 Ogos 2021,
beliau sekali lagi diberikan kepercayaan untuk dilantik sebagai Menteri Di
Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-9 iaitu
YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Antara
kejayaan yang dibawa oleh Dato’Sri Mustapa Mohamed ialah membawa perubahan
besar ke kawasan Parlimen Jeli yang pernah digelar sebagai ‘tempat jin
bertendang’ sejak pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat. Malah, beliau yang
lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Tok Pa’ mendapat gelaran ‘arkitek
perubahan Jeli’ kerana melakukan transformasi ke atas bandar Jeli. Usaha dan
kerja keras beliau jelas sekali dilihat lebih terancang dan cepat membuahkan
hasil.
Bandar
Jeli asalnya sebuah petempatan kecil di daerah terpencil Kelantan, tetapi sejak
kehadiran beliau sebagai wakil rakyat Jeli, bandar itu dan kawasan sekitarnya
mengalami proses transformasi yang ketara. Sebagai seorang pemimpin yang
berkebolehan, yang menerima sokongan padu rakyat, beliau membawa pembangunan
berpandukan empat teras iaitu meningkatkan syiar Islam, pembangunan pendidikan,
penyediaan kemudahan awam dan menjamin kebajikan rakyat.
Dato’
Sri Mustapa Mohamed berazam untuk memajukan seluruh negeri Kelantan yang jauh
ketinggalan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS dan semua agenda
pembangunan terkandung dalam manifesto atau Akujanji BN Kelantan yang bertemakan
‘Rakyat Dihati Janji Ditepati’. Dengan pengalaman luas di peringkat nasional
dan antarabangsa selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, beliau
menggunakan pengalaman itu untuk membantunya menarik pelaburan asing dalam
memajukan negeri Kelantan.
Selain
mengetuai Persatuan Humphreys Fellows Malaysia, Dato' Sri Mustapa juga
merupakan Presiden Pertubuhan Untuk Peningkatan Perusahaan, Kerohanian dan
Kebudayaan (OISCA) di Malaysia, Persatuan Francais Malaysia dan PROMUDA serta
Pengarah Khazanah Nasional Berhad. Beliau juga merupakan Penaung kepada
Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) yang mana dianggotai oleh kelompok
mahasiswa dan lepasan graduan Negeri Kelantan dalam usaha untuk menguat dan
memantapkan jalinan kerjasama antara siswazah selain dapat mengeratkan lagi
hubungan silaturahim di antara mereka.
Dato’Sri
Mustapa Bin Mohamed juga telah memperoleh pelbagai Anugerah Darjah Kebesaran
Diraja. Contohnya,menerima Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (Al-Ismaili
I) (SJMK); Membawa gelaran Dato'. Menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang
(SSAP); Membawa gelaran Dato' Sri dan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP);
Membawa gelaran Dato' Indera. Menerima Darjah Sri Paduka Mahkota Perlis (SPMP);
Membawa gelaran Dato' Seri dan menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor
(DPMS); Membawa gelaran Dato'.
Dato’Sri
Mustapa Bin Mohamed merupakan seorang yang mempunyai prinsip yang kuat. Beliau
komited untuk membantu kerajaan dalam memajukan bumiputera dan rakyat. Selain
itu,beliau juga merupakan seorang yang mudah untuk disenangi. Bekas menteri
kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Dato’Sri Mustapa Mohamed sebagai
“budak baik” dan beliau pernah membantunya ketika tewas di Parlimen Jeli pada
pilihan raya umum 1999. Beliau turut memuji Tok Pa sebagai seorang yang
mempunyai pegangan agama yang kuat. Beliau juga merupakan seorang yang lemah
lembut dan tidak suka untuk mengatakan atau menggelarkan sesuatu yang buruk
kepada pihak lawan. Sikapnya yang suka menolong, rajin untuk beribadat dan
sentiasa menziarahi masyarakat kampung terutamanya orang yang sakit menjadikan
beliau sebagai seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh rakyat terutama
penduduk di Jeli.
SUMBANGAN
TOKOH KEPADA PENDUDUK JELI DALAM PEMBANGUNAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI PARLIMEN
JELI
Menurut sejarah dan sumbangan Dato’ Sri Mustapa Mohamed dalam perkembangan pendidikan di Jeli, ternyata pelbagai usaha dilakukan oleh beliau. Beliau amat menitikberatkan elemen-elemen pendidikan kepada rakyatnya sama ada pendidikan sekolah rendah,menengah,Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga keagamaan. Ternyata,usaha- usaha yang telah dilakukan oleh beliau banyak membuahkan hasil dan impak yang positif kepada sektor pendidikan di Jeli. Buktinya,telah lahir ramai golongan anak muda yang berasal dari Jeli melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Elemen pendidikan ini bukan sahaja tertumpu kepada anak muda namun golongan dewasa dan golongan yang berumur turut diberikan ruang dan peluang dalam mendapatkan pendidikan yang lebih baik.
Antara kejayaan beliau dalam pembangunan institusi pendidikan di Jeli ialah tertubuhnya Pusat Dakwah Jeli. Pusat Dakwah Jeli atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden Jeli terletak di sebuah kampung lama di sempadan Malaysia -Thailand iaitu Kampung Jenub, Bukit Bunga, Tanah Merah. Pusat Dakwah Jeli ini diasaskan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed selaku Ahli Parlimen Jeli yang juga merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu. Pondok Moden Jeli telah dibina pada tahun 2008 di atas tapak seluas 1.6 hektar dengan kos RM500,000. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama untuk lelaki dan perempuan serta dewan untuk aktiviti perhimpunan yang bernilai RM300,000 yang mampu memuatkan seramai 300 orang. Pusat ini ditubuh berasaskan institusi sekolah pondok yang banyak terdapat di Kelantan. Institusi ini dijadikan pusat tahfiz untuk golongan muda dan pusat mendalami ilmu agama bagi golongan tua. Kelas Al-Quran akan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu serta kelas pengajian Tafsir, Tahsin dan Tajwid dengan kerjasama KIAS. Pusat ini menerima pelajar daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang ingin mengikuti kursus agama. Pusat Dakwah ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Dr. Abdullah Mat Zain, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Februari 2008. Mudir Pondok Moden Jeli ini ialah Tuan Hj. Ismail Jusoh yang pernah berkhidmat dengan KESEDAR di Bahagian Pembangunan Masyarakat selama 24 tahun dan bersara pada 2006.
Kelas Tuisyen Darul Falah telah ditubuhkan pada tahun 1995 di atas usaha Dato’Sri Mustapa Mohamed selaku Ahli Parlimen Jeli. Kelas ini diadakan secara percuma di Pusat Tuisyen Darul Falah, Batu 11,Tanah Merah,Kelantan. Ia merupakan kelas tambahan percuma untuk murid- murid sekolah rendah di kawasan Parlimen Jeli. Pada tahun 1998 ia mula berpusat di kediaman rasmi beliau yang juga dikenali sebagai Darul Falah. Sejak ditubuhkan, lebih 6,000 murid sekolah rendah telah mengikuti kelas tambahan percuma ini. Tujuan kelas ini diadakan adalah disebabkan oleh pencapaian subjek bahasa Inggeris calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Jeli yang kurang memuaskan. Kejayaan penubuhan kelas ini terbukti setelah berjaya membantu melonjakkan pencapaian calon UPSR dalam subjek bahasa Inggeris. Pencapaian sekolah dan minat murid terhadap subjek bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan saban tahun sejak kelas tuisyen ini diperkenalkan. Kelas tuisyen ini diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu. Pada mulanya, ia hanya melibatkan murid tahun enam namun mula dibuka kepada murid tahun empat dan tahun lima pada tahun 2009. Kelas Tuisyen Darul Falah telah memberikan khidmat kepada lebih 3,000 murid yang kebanyakkannya sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan ada juga alumninya sedang menuntut di universiti. Bagi memberi peluang lebih ramai murid mengikuti tuisyen percuma ini, Kelas Tuisyen Darul Falah telah membuka tiga cawangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, SK Bukit Jering dan SK Jeli 2 pada tahun 2010. Pelaksanaan tuisyen ini juga turut dibantu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Jeli dan Tanah Merah, Kelab Darul Falah UMK Kampus Jeli dan ECERDC melalui Latihan Akademik di bawah program empower.
Tok Pa bersama anak-anak pelajar di kelas
tuisyen Darul Falah
Dalam
sektor institusi pendidikan sekolah menengah pula,terdapat banyak kemajuan yang
telah dibawa oleh beliau di Jeli. Kini, Parlimen Jeli juga setanding dengan
kawasan-kawasan di bandar lain malah di kawasan bandar lain juga tidak
mempunyai keistimewaan ini iaitu wujudnya sekolah menengah yang dikategorikan
sebagai sekolah berprestasi tinggi. Idea penubuhan Maktab Rendah Sains MARA
(MRSM) Jeli telah dicetuskan oleh Dato’Sri Mustapa Mohamed selaku Menteri
Pembangunan Usahawan dan merangkap Pengarah Eksekutif MTEN ketika itu. MRSM
Jeli terletak di sebuah kawasan yang strategik iaitu di tepi Lebuhraya
Timur-Barat bertempat di Kampung Gemang di atas tanah seluas lebih kurang 42
ekar. Perletakan batu asas telah disempurnakan oleh YAB Dato’Seri Abdullah
Ahmad Badawi,Timbalan Perdana Menteri pada 3 September 1999.Pembangunan di sini
menjadi sebagai pemangkin kemajuan di daerah Jeli. MRSM Jeli bermula operasi
pada tahun 2001 dengan pengambilan pelajar tingkatan 1&4. Seterusnya
penubuhan Sekolah Menengah Sains(SMS) Jeli atau dikenali sebagai JESS. Sekolah
ini mula dibina pada tahun 2010 dan siap dibina pada akhir tahun 2012 dengan
keluasan sekitar 42 ekar. Sekolah ini mempunyai 4 blok akademik,enam blok
asrama,sebuah dewan serbaguna,dewan makan dan sebuah surau untuk kemudahan seharian
pelajar. Kos perbelanjaan pembinaan sekolah ini ialah sekitar RM82 Juta. SMS
Jeli merupakan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang ke-4 di Kelantan dan ke-67 di
Malaysia. Sekolah ini dibuka secara rasminya pada 1 Januari 2013.
Sekolah Menengah Sains Jeli (JeSS)
Selain
itu,terdapat banyak penubuhan pusat pengajian tinggi di Parlimen Jeli.
Antaranya ialah penubuhan sebuah universiti yang bernama Universiti Malaysia
Kelantan (UMK). UMK secara rasminya berada dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
Ia merupakan IPTA yang ke-19 di Malaysia. Kampus Kota UMK terletak di Pengkalan
Chepa, manakala kampus tetapnya terletak di Bachok dan Jeli. Penubuhan UMK
Kampus Jeli pada tahun 2012 bertujuan untuk menyumbang ke arah meningkatkan
kecemerlangan pendidikan kepada anak bangsa dan memberi sumbangan kepada
masyarakat setempat dan bekerjsama dalam usaha untuk meningkatkan sosioekonomi
dan budaya masyarakat sejajar dengan objektif, visi dan misi UMK Kampus Jeli.
Ia terletak di Lebuhraya Timur-Barat dan berdekatan dengan Hentian Rehat dan
Rawat Jeli,MRSM Jeli dan 7 kilometer dari Bandar Jeli. Kampus ini bernilai
sebanyak RM60 juta. Terdapat dua fakulti yang ditawarkan iaitu Fakulti Industri
Asas Tani dan Fakulti Sains Bumi. Penubuhan UMK Kampus Jeli ini disokong penuh
oleh Dato' Sri Mustapa Bin Mohamed selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri ketika itu. Beliau juga merupakan Menteri Mentor Universiti Malaysia
Kelantan.
Seterusnya
penubuhan Politeknik Jeli (PJK). Pada awalnya, ia telah memulakan operasinya
pada 1 April 2007 di bangunan Perpustakaan Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
Kampus tetap Politeknik Jeli telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 2013
dengan melibatkan kos hampir RM124 juta yang meliputi kawasan seluas 122 ekar.
Dari segi lokasinya, Politeknik Jeli berada di antara bandar-bandar seperti
Kota Bharu, Lojing, Cameron Highlands, Kuala Terengganu serta Tasik
Pergau,Tasik Banding dan Tasik Kenyir yang menjadi pemangkin kepada
program-program yang ditawarkan. Program yang ditawarkan di Politeknik Jeli
ialah Diploma Agroteknologi & Diploma Akuakultur. Pada 14 Februari 2013,
Majlis Penyerahan Projek Kampus Tetap Politeknik Jeli telah diadakan di Kampus
Tetap Politeknik Jeli oleh pihak JKR kepada Jabatan Pengajian Politeknik.
Bermula dari 1 Mac 2013, Politeknik Jeli Kelantan telah beroperasi secara rasmi
dengan pengambilan pertama pelajar pada semester Jun 2013. PJK berada dalam
lingkungan komuniti ilmu yang sedang pesat membangun antaranya seperti UMK
Kampus Jeli, MRSM Jeli, SM Sains Jeli serta Kolej Komuniti Jeli. Seiring dengan
perkembangan semasa, PJK memikul tanggungjawab untuk melahirkan modal insan
yang lestari serta mempunyai mentaliti kelas pertama seiring dengan halatuju
transformasi Jabatan Pengajian Politeknik untuk melonjakkan politeknik sebagai
institusi peneraju dalam bidang TVET. PJK juga berusaha untuk menghasilkan
graduan yang berkualiti dan berdaya saing agar sasaran transformasi politeknik
dapat dicapai dengan jayanya.
Kolej
Komuniti Jeli merupakan antara Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) yang ada di
kawasan Parlimen Jeli. Kolej ini terletak di lot kedai yang disewa di Bandar
Baru Bukit Bunga,Tanah Merah,Kelantan. Kolej ini mula beroperasi secara rasmi
pada 1 Julai 2006 setelah dirasmikan oleh Dato’Sri Mustapa Mohamed selaku
Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu itu. Pada asalnya ia beroperasi di bawah
cawangan Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah dan kemudiannya berpindah pula ke
cawangan Kolej Komuniti Kok Lanas,Kelantan. Namun pada tahun 2012, Kolej
Komuniti Jeli akhirnya beroperasi sebagai satu Pusat Tanggungjawab (PTJ). Pada
asalnya kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti Jeli ini adalah Sijil Bakeri
dan Konfeksioneri yang bermula pada 17 Januari 2007. Namun kursus ini tidak
lagi ditawarkan. Kolej Komuniti Jeli kini menawarkan dua kursus utama iaitu
sijil fesyen & pakaian dan sijil pastri dimana kedua-duanya berjalan selama
2 tahun. Penubuhan kolej ini juga bukan sahaja memberikan peluang pendidikan
namun turut berjaya melonjakkan ekonomi di kawasan Bukit Bunga di samping
membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
NILAI-NILAI
MURNI TOKOH YANG WAJAR DICONTOHI
Dato’
Sri Mustapa Bin Mohamed ialah seorang yang gigih dan cemerlang dalam pelajaran.
Beliau merupakan anak Melayu pertama yang memperoleh ijazah kelas pertama dalam
bidang ekonomi di University Of Melbourne, Australia. Universiti ini adalah
universiti yang kedua tertua di Australia yang dibangunkan pada tahun 1853.
Terdapat ramai warganegara Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana sama ada
Melayu, Cina, India atau lain-lain. Namun, anak kelahiran Bachok,Kelantan ini
merupakan anak Melayu pertama yang berjaya memperoleh kejayaan tersebut.
Kemudiannya, beliau melanjutkan pelajarannya di peringkat Master dalam bidang
Pembangunan Ekonomi di Boston University, Amerika Syarikat.
Seterusnya,
Dato’Sri Mustapa Mohamed merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab. Walaupun
sibuk dengan pelbagai urusan di Kuala Lumpur, beliau tetap mengingati dan
mengambil berat terhadap rakyatnya di Jeli. Dilaporkan beliau atau dikenali
sebagai Tok Pa ini akan cuba untuk pulang ke Jeli pada setiap hujung minggu
selama 2-3 hari bagi menziarahi rakyatnya di Jeli. Di kampung, kelihatan beliau hanya mengenakan
pakaian T-shirt dan membonceng motorsikal bersama penduduk apabila bertemu
orang kampung. Beliau juga sering menggunakan pengangkutan awam seperti kereta
sewa untuk pergi ke sesuatu tempat. Lawatannya akan terisi dari waktu siang
sehinggalah pada waktu malam. Beliau akan bertemu dengan penduduk di Jeli yang
terdiri daripada golongan petani, nelayan, peniaga kecil, pegawai kerajaan,
wakil NGO, orang dari sektor korporat dan juga orang Asli di Sungai Rual.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang beliau akan lakukan seperti melawat dan
menziarahi rakyatnya terutama mereka yang sakit di kampung dan di hospital iaitu
wajib sebulan sekali . Dato’Sri Mustapa Mohamed juga akan cuba menghadiri
setiap majlis yang diadakan di Jeli seperti majlis perkahwinan. Kehadirannya
akan disambut baik oleh masyarakat tempatan malah memeriahkan lagi sesebuah
majlis tersebut.
Tok Pa steady
duduk beramah mesra dengan penduduk di Jeli
Tok Pa santai naik motor bersama penduduk.
Seorang yang rendah diri
Di
samping itu, beliau merupakan seorang yang komited dalam meningkatkan tahap
pendidikan kepada rakyatnya di Jeli. Beliau juga digelar sebagai “Tokoh
Pembangunan Pendidikan” kerana usaha kuatnya dalam memajukan sektor pendidikan
di Jeli. Beliau pernah membuka tempat tuisyen secara percuma di rumahnya
kemudiannya membawa masuk IPTA di Jeli. Bagi Tok Pa, tumpuan utama untuk membangunkan Jeli adalah melalui pendidikan.
Beliau pada mulanya mengadakan program tuisyen di kediamannya sendiri iaitu di
Darul Falah yang merupakan kediaman rasmi Ahli Parlimen Jeli bermula tahun
1996. Pusat tuisyen percuma ini
memberikan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris dan Matematik supaya
dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bermula dari UPSR. Usahanya
terbukti berhasil apabila ramai anak Jeli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke
luar negara.
Selain
daripada selalu turun padang, Dato’ Seri Mustapa Mohamed juga diakui kuat
pegangan agamanya. Penduduk juga ada melaporkan yang mereka selalu ternampak
Tok Pa akan sembahyang di surau dan di masjid yang berbeza setiap kali beliau
melawat orang kampung. Pada PRU 2004, beliau telah berjanji kepada penduduk
Jeli untuk membina sebuah Pusat Dakwah Jeli (PDJ) atau Pondok Moden di Bukit
Bunga untuk memastikan program dakwah dibuat dengan bersistematik. Selain tu,
banyak masjid dan surau di Jeli telah dibina baru dan dinaiktaraf. Namun,
beliau tidak berpuas hati dengan perpecahan perpaduan yang berlaku di masjid
dan kampung-kampung di Kelantan. Hal ini berlaku kerana ada pihak yang mengeluarkan
kata-kata yang tajam dan amat mendukacitakan. Baginya, masalah perpaduan bagi
rakyat Kelantan adalah kerana perbezaan fahaman politik dan ia harus dipulihkan
segera demi keharmonian dan kesejahteraan.
Tok Pa sering menunaikan solat
berjemaah bersama penduduk di mana mana masjid/surau di Jeli
Masjid Sultan Muhammad 1 Bandar Jeli yang
dinaiktaraf
Dato’Sri
Mustapa Mohamed juga merupakan seorang yang gigih berusaha dalam mencapai
cita-citanya. Beliau telah berjuang untuk mendapatkan sebuah lapangan terbang
dan lebuhraya di Kelantan untuk menarik pelabur. Kelantan sejak 1990 di bawah
pentadbiran PAS sangat ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding negeri
lain. Menurut Tok pa, impian beliau adalah supaya Negeri Kelantan mendapat
infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja untuk kesenangan rakyat tetapi boleh
menarik pelabur untuk melabur di negeri Kelantan. Infrastruktur yang paling
diperlukan adalah lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan, lebuh raya, sistem
jalan raya terbaik serta bekalan air yang stabil dan mencukupi sesuai dengan
keperluan industri. Selain itu, beliau berpendapat perkara lain yang perlu
diberikan keutamaan adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk
mengelakkan anak muda Kelantan berhijrah ke negeri lain untuk mencari
pekerjaan. Kini,Kelantan mempunyai sebuah lapangan terbang yang dikenali
sebagai Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang terletak di Pengkalan Chepa,Kota
Bharu,Kelantan yang siap dibina pada September 2002.
Pada tahun 2021, Dato'Sri Mustapa bin Mohamed yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memainkan peranan yang penting dalam menaik taraf Lapangan
Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang kini dalam proses
pembesaran turut bersedia menjadi lapangan terbang antarabangsa selepas siap
sepenuhnya 2024 nanti. Sebelum ini , terdapat penerbangan luar negara seperti
ke Singapura dan Medan, namun disebabkan kurang permintaan, operasinya terpaksa
dihentikan dan laluan berkenaan ditutup. Menurut beliau, tiada masalah dan bersedia untuk menjadikan LTSIP ini menjadi lapangan terbang antarabangsa
sekali lagi. Terdapat juga penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu. Hal ini
dapat banyak membantu memudahkan pergerakan pelajar dan mereka yang bekerja di
sana. Skop utama projek naik taraf adalah melibatkan pembesaran dan naik taraf
bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta
penumpang setahun (MPPA) kepada empat MPPA mulai tahun 2028. Antara yang
terlibat dalam naik taraf berkenaan adalah balai ketibaan, balai pelepasan dan
terminal. Selain itu, tempat parkir kereta dibesarkan di mana sebelum ini hanya
300 tapi kini jadi 1300.
Apa
yang diperkatakan oleh Dato’Sri Mustapa Mohamed ini dapat dilihat di kawasan
parlimennya sendiri. Sewaktu menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (MITI), beliau telah membawa masuk pembinaan Jambatan Persahabatan
Malaysia-Thailand . Jambatan sepanjang 120 meter yang merentangi Sungai Golok
ini menghubungkan Bukit Bunga, Jeli dengan Ban Buketa, Narathiwat. Selain
mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia-Thailand, ia turut menambahkan lagi
jumlah kemasukan pelancong. Di sebelah Malaysia, jambatan ni dilengkapi dengan
Kompleks Imigresen Bukit Bunga. Di sini juga terdapat banyak agensi kerajaan
yang beroperasi seperti Jabatan Imigresen, Kastam, Polis, Kesihatan, Perhutanan
dan Jabatan Haiwan.
Kompleks Imigresen Bukit Bunga
Antara
nilai lain yang ada pada diri Dato’Sri Mustapa Mohamed ialah seorang pemimpin
yang berjiwa rakyat.Beliau mempunyai gaya kepimpinannya yang tersendiri.
Sikapnya yang suka merendah diri membuatkan masyarakat berasa senang dengan
beliau. Beliau tidak kekok untuk bersama-sama rakyat walaupun berada
dimana-mana sahaja. Sewaktu beliau terkena penyakit ruam setelah pulang dari
luar negara, beliau kelihatan sedang duduk menunggu giliran bersama-sama
pesakit yang lain iaitu orang awam di Hospital Kuala Lumpur. Beliau tidak
berasa megah dengan jawatan yang dipegang olehnya selaku menteri. Sememangnya
beliau sudah terbiasa untuk berwatakkan seperti seorang rakyat yang biasa
terutamanya di Kelantan. Beliau juga gemar mengenakan pakaian T-shirt dan memasukkannya
ke dalam seluar sambil memakai kopiah ketika bertemu penduduk di Jeli.
Dato’Sri
Mustapa Bin Mohamed merupakan seorang pemimpin yang amat mengambil berat
terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di Kelantan khususnya di Jeli. Beliau
juga yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri
Kelantan (MTPPNK) telah banyak menyokong program yang melibatkan Orang Asli
ini. Contohnya, beliau telah pun memberikan bantuan Tanaman Sayur-Sayuran
kepada pelajar Orang Asli di SK Sungai Rual untuk diusahakan. Bantuan RM100
kepada pelajar yang terpilih turut disumbangkan beliau agar dapat menampung
perbelanjaan persekolahan dalam kalangan Orang Asli. Beliau juga turut
menggalakkan masyarakat Orang Asli ini supaya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan
iaitu dengan mengusahakan penternakan ayam organik. Sebanyak 20 ekor ayam
organik termasuk makanannya dibekalkan kepada setiap satu keluarga untuk
diternak.
Selain
itu, petempatan Orang Asli di kampung Sungai Rual juga dititikberatkan. Setiap
warga kampung akan memperoleh bantuan perumahan yang dikenali sebagai Projek
Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) supaya dapat memberikan keselesaan kepada
mereka. Dari segi pendidikan juga, beliau telah pun menaik taraf SK Sungai Rual
yang dahulunya amat daif keadaannya. Kini, SK Sungai Rual telah berubah wajah
dengan mempunyai banyak fasiliti kemudahan yang baharu seperti dewan,bangunan
sekolah baru dan juga asrama untuk pelajar. Kos naik taraf Sk Sungai Rual ini
dianggarkan bernilai RM14 Juta. Para pelajar Orang Asli ini juga kelihatan agak
kemas dan bersih dari segi pemakaian dan penampilannya. Mereka juga menunjukkan
perubahan yang sedikit baik dalam pencapaian akademik.
Akhir sekali, Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed juga merupakan seorang pemimpin yang amat akrab dan rapat dengan anak muda tidak kira di peringkat umur. Beliau akan melayani dan beramah mesra dengan rakyatnya tanpa mengira umur, latar belakang dan lain-lain. Beliau amat prihatin dan pantas dalam mengambil tahu tentang pencapaian para pelajar di Parlimen Jeli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti UPSR, PMR/PT3, SPM, STPM, STAM dan lain-lain. Beliau sendiri akan bertemu para pelajar yang cemerlang ini serta akan memberikan sumbangan dan hadiah kepada para pelajar ini sebagai penghargaan di atas kecermelangan mereka dan menjadi pembakar semangat agar sentiasa berjaya dalam pelajaran pada masa hadapan.
Aisyah ,pelajar cemerlang STPM
2019 PPD Jeli & Kelantan. Dianugerahkan anugerah MPM
Secara keseluruhannya, terbukti bahawa pelbagai sumbangan telah dilaksanakan oleh Dato’Sri Mustapa Bin Mohamed kepada penduduk Jeli,Kelantan. Sumbangan beliau telah memperoleh pelbagai kejayaan bermula di peringkat awal dimana beliau pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Jeli setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1995 sehingga kini. Sepanjang menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli, secara sampingannya, beliau juga berjaya membuka mata masyarakat tempatan terutama anak-anak muda dengan menunjukkan kepimpinan dan contoh teladan yang baik sebagai seorang pemimpin. Segala sumbangan Dato’Sri Mustapa Mohamed amat memberikan impak yang positif dalam kalangan rakyatnya di Jeli untuk memastikan Jeli sebagai salah sebuah bandar yang membangun dan berkembang maju dari pelbagai aspek terutama dalam aspek sosial dan ekonomi. Kini, Jeli telah berubah wajah dari segi pembangunan,perkembangan pendidikan, kemudahan sosial dan ekonomi yang semakin maju. Beliau merupakan individu yang amat dikenali dan disayangi oleh masyarkat tempatan kerana nilai keperibadiannya yang suka merendah diri dan berjiwa rakyat. Beliau juga merupakan antara tokoh yang wajar dicontohi oleh anak-anak muda di Jeli,Kelantan.
Sumber rujukan :
Ustaz
Mohd Nasir Bin Mohd Nor,Setiausaha Politik Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed. Temu
ramah pada 28 April 2020 di kediaman beliau.
Encik
Lakmin Hakim Bin Taib,Penyelia Asrama Sekolah Kebangsaan Sungai Rual. Temu
ramah pada 18 Julai 2020 di kediaman beliau.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Mustapa_Mohamed
https://sejarahkelantan.wordpress.com/category/jeli/
http://yayasanpondok.blogspot.com/p/pusat-dakwah-jeli-tanah-merah.html
http://goldenholidayjeli.blogspot.com/2016/05/program-straight-as-parlimen-jeli.html
https://soscili.my/5-kehebatan-tok-pa-yang-ramai-tak-tahu-sewaktu-jadi-ahli-parlimen-jeli/
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2010/09/04/pondok-moden-jeli-bakal-dijadikan-pusat-tahfiz
En.
Mohamad Syafiq Bin Shamsuddin, Bandar Jeli Bandar Sejahtera, Kelantan Darul
Naim :
Majlis Daerah Jeli, 2017.
Penulisan ini
hasil daripada hasil kerja kursus sejarah STPM 2020. Penulis telah memilih tema
Tokoh yang bertajuk Sumbangan Dato'Sri Mustapa bin Mohamed kepada penduduk
Jeli. Diharap penulisan ini dapat menjadi rujukan kepada para pelajar terutama
pelajar di peringkat STPM dalam menyelesaikan kerja kursus sejarah nanti.
Terima kasih Puan Nargis Yasin, guru Sejarah saya yang banyak membantu dalam
menghasilkan penulisan kerja kursus ini. Ikhlas daripada Mohammad Faiez Iqmal
bin Semi, pelajar Pra U Lanas, STPM 2020, kelas 6UUM/UMA.
Penulisan artikel ini juga telah diterima dan diterbitkan di laman E-Pena UPSI yang merupakan portal media rasmi UPSI :
https://www.epena.com.my/index.php/2023/01/19/tok-pa-lonjak-kemajuan-jeli-menerusi-pendidikan/






























Comments
Post a Comment